SAUDARA PENGARANG,
KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini untuk memartabatkan semula bahasa Melayu dengan meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 bagi membolehkan badan berkanun itu mengambil tindakan terhadap mana-mana pelanggaran bahasa memang diterima dengan harapan besar dalam kalangan rakyat.
Terlalu banyak yang perlu dilakukan kerajaan dan DBP kerana belum pernah ada pemimpin politik sebelum ini yang berani meluahkan hasrat di pentas politik rasmi seperti dibuat Ismail Sabri dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang baru berlalu.
Jika diimbau semula apa yang terjadi sekurang-kurangnya lima tahun kebelakangan ini, nampak sekali keadaan bahasa Melayu semakin kucar-kacir dan tiada orang yang peduli walaupun isu ini terus didendangkan terutama di media massa arus perdana.
Anak-anak sekolah bila berkomunikasi sesama mereka atau dengan pihak ketiga akan bertutur dengan bahasa rojak yang terlalu cacamarba.
Dipanjangkan lagi cerita, bahasa rojak menjadi pertuturan harian dalam program radio dan televisyen stesen penyiaran swasta dan kini saya lihat telah merebak pantas ke media massa rasmi kerajaan.
Lihat sahaja semua rancangan realiti televisyen. Hampir semua juri berkomunikasi dengan peserta menggunakan bahasa rojak sedangkan majoriti ialah orang Melayu.
Ini dapat disahkan lagi apabila selebriti Melayu dijemput menghakimi program realiti di Indonesia, masing-masing tercungap-cungap mencari perkataan untuk menyampaikan mesej yang selalunya tersekat-sekat berbanding dengan hos tempatan yang cukup fasih dan teratur penggunaan bahasa Melayu/Indonesianya.
Kita alihkan lagi pemerhatian kepada keadaan masa kini dalam beberapa bidang. Lagu-lagu Melayu sekarang banyak sudah dirojakkan dengan bahasa Inggeris dan nampaknya ia semakin merebak dalam kalangan penggiat seni tanah air.
TARING
Dalam pada itu, sering dalam kalangan pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang muncul dalam sidang akhbar menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Seingat saya, Ismail Sabri juga pernah merungut akan hal ini.
Lebih ketara sekarang, banyak kementerian dijenama semula dengan menggunakan singkatan dalam bahasa Inggeris seperti MOSTI, MOTAC dan MOA. Ini adalah sebahagian daripada pemerhatian saya tentang perubahan yang berlaku di tanah air kita yang bersangkut dengan bahasa Melayu.
Mungkin Akta DBP 1959 perlu dikaji semula agar peranannya sebagai penguat kuasa atau pembimbing kepada pembentukan bahasa yang tepat dan elok dapat dimartabatkan untuk semua masyarakat.
Jadi, DBP perlu lebih diperkasakan dan profesinya diiktiraf sebagai pemerkasa bahasa, bukan hanya sebagai membetulkan perkataan di papan tanda. Kerajaan perlu memainkan peranan yang lebih aktif dari sekarang.
Pelaku-pelaku kesalahan bahasa perlu dipantau dan dibimbing untuk kembali ke landasan yang betul dalam arena pendaulatan bahasa Melayu ini.
Inilah peranan yang perlu diungkapkan dengan jelas dan praktikal dalam penggubalan akta baharu untuk menggantikan Akta DBP 1959 yang mungkin terlalu kendur masa kini.
Seperti yang selalu diungkapkan, DBP perlu mempunyai taring untuk membimbing, membetulkan dan menghukum pengguna bahasa yang membantu merosakkan bahasa Melayu. – UTUSAN
BADRUDDIN, Petaling Jaya