SAUDARA PENGARANG,
KRITIKAN serta ugutan terhadap penjawat awam oleh pemimpin DAP seperti makin menjadi-jadi sehingga mereka berani mengugut Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya kerana agensi berkenaan melaksanakan tugas penguatkuasaan terhadap prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Jika ahli DAP mahu melanggar SOP, maka itu hak mereka tetapi jangan salahkan atau cuba mengugut anggota PDRM apabila ceramah atau kempen parti tersebut melanggar undang-undang ditetapkan, baru-baru ini.
Persoalannya, apakah niat sebenar pemimpin DAP yang juga Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan: “Tunggulah bila kami jadi kerajaan, kita tidak akan buat SOP macam ini” hanya kerana PDRM tidak menyebelahi permintaan mereka?”
Pemimpin DAP diingatkan agar tidak mencuba mengajar PDRM dengan mencabul peraturan penguatkuasaan sedia ada sebaliknya mereka sepatutnya berterima
kasih kerana masih mendapat kawalan keselamatan.
Rakyat masih tidak lupa bagaimana sinonimnya pemimpin parti itu sebelum ini yang menghina penjawat awam menerusi dua agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dengan ungkapan anjing serta kucing kurap dan terkini pula PDRM menjadi mangsa sasaran melampau DAP.
Tidak terkhilaf jika dikatakan majoriti penjawat awam bagi ketiga-tiga agensi berkenaan terdiri daripada orang Melayu, malah situasi sebegini amat tidak menggembirakan serta menguntungkan kaum lain yang cintakan keharmonian berbilang bangsa terutaman masyarakat Cina.
Justeru, rakyat berbilang kaum berasa begitu musykil dengan nasib serta hala tuju pentadbiran PDRM sekiranya Pakatan Harapan (PH) yang diterajui DAP memerintah semula negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak .
Oleh itu, sokongan pengundi terhadap calon DAP dalam PRN Johor ini layak diterjemahkan dalam bentuk liabiliti.-UTUSAN
RAHMAD ISAHAK, Aktivis politik/Bekas ahli DAP