SAUDARA PENGARANG,
SETIAP tahun ada sahaja pihak yang menghentam agensi zakat dan baitulmal. Baru-baru ini, masih hangat di media sosial apabila seorang wanita merintih dan menghentam pusat zakat konon permohonannya tidak dilayan dengan sebetulnya.
Bukan sahaja netizen malah seorang agamawan menghentam agensi tersebut tanpa segan silu dan usul periksa. Malah kemunculan media sosial turut merancakkan lagi perdebatan dan perbahasan dalam kalangan netizen mengenai fungsi agensi zakat di negara ini. Kesannya, agensi tersebut mula dibenci dan persepsi buruk timbul.
Apabila saya selidiki isu-isu melibatkan zakat, didapati begitu banyak kes rayuan dan rintihan di media sosial mengenai agensi zakat adalah palsu dan tidak berasas.
Apabila wartawan melakukan siasatan dan menghubungi pusat zakat berkaitan, barulah muncul fakta-fakta yang tepat mengenai bantuan diberikan. Apa tujuan tuduhan-tuduhan palsu ini dilakukan? Wallahuaklam.
Oleh itu, sebagai orang awam, bersikap adillah terhadap agensi zakat dan baitulmal. Allah berfirman dalam Surah al-Hujurat, ayat 6: “Wahai orang beriman, jika datang kepada kamu orang yang fasik membawa berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum dengan tidak mengetahui, maka jadilah kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”
Ada juga pihak menyatakan prosedur yang diperlukan untuk memohon zakat sangat leceh dan sukar. Namun, kita perlu tahu bahawa prosedur diperkenalkan untuk mengelak penipuan.
Menurut laporan akhbar, pada 2015 sebanyak 4,000 penerima zakat di Selangor dikesan sebagai ‘tidak asli.’ Sudah pastinya kita mahu wang yang diamanahkan kepada agensi zakat diuruskan dengan betul dan sampai kepada sasarannya.
Kita selalu marah apabila masyarakat dunia terutama Barat selalu memberikan representasi buruk kepada Islam. Namun, tanpa kita sedari, masyarakat Islam sendiri mengkritik secara semberono terhadap agensi zakat dan baitulmal. Tidak malukah kita dengan masyarakat bukan Islam? Sekali lagi, bersikap adil dan berhati-hati sebelum mengeluarkan sebarang komen.
Buat agensi zakat dan baitulmal, teruskan berkhidmat untuk umat Islam dan negara. Buatlah yang terbaik dengan amanah yang diberikan. Teruskan mencari asnaf yang susah dan bantulah mereka untuk bersamasama memperjuangkan nasib umat Islam.
Jika ada teguran yang membina, jangan cepat melatah, ambil teguran itu dengan positif dan perbaiki prestasi kerja.- UTUSAN
DR. MUHAMMAD RAQIB MOHD. SOFIAN, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)