SAUDARA PENGARANG,
PADA malam ini, sudah pasti semua pihak ternanti-nanti gabungan parti manakah yang akan menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pada PRN kali ini, buat pertama kalinya, 10 parti politik dan gabungan bersama-sama calon Bebas bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Secara keseluruhan terdapat 239 calon yang bermakna margin kemenangan sangat tipis dalam kalangan pesaing.
Walaupun pesaing utama ialah Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), banyak parti politik lain memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan.
Malah, mereka sepatutnya berterima kasih kepada parti-parti kecil seperti Parti Bangsa Malaysia (PBM), Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan lain-lain kerana secara tidak langsung membantu secara strategik dalam memecahkan undi.
Ini hampir sama dengan apa yang berlaku di Melaka di mana PN menyebabkan berlaku perpecahan undi.
Di Melaka, BN sebenarnya hanya memenangi 38 peratus undi popular, tetapi berjaya meraih hampir dua pertiga kerusi. PH mendapat 37 peratus undi popular dan PN 25 peratus.
Jadi, pada dasarnya walaupun BN mungkin tidak popular dalam kalangan majoriti pengundi, mereka mempunyai peluang yang baik untuk menang kerana kehadiran parti-parti kecil ini.
Komen yang dibuat oleh pemerhati politik membuktikan hakikat ini kerana ramai yang mengulas bahawa semakin ramai calon di setiap DUN, semakin besar kelebihan BN dalam mendapatkan mandatnya.
Sebahagian besar daripada 35 pertandingan empat penjuru adalah kawasan majoriti Melayu dan beberapa kerusi separuh bandar.
Oleh itu, parti-parti besar harus tunduk dan berterima kasih kepada PBM, MUDA, Warisan dan parti-parti kecil lain. – UTUSAN
ALEX CHUNG, Alor Gajah, Melaka