Atasi segera isu harga rendah getah

Atasi segera isu harga rendah getah

GESAAN supaya harga getah dinaikkan sehingga RM5 sekilogram adalah amat wajar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin mengulas gesaan pekebun dan penoreh getah dalam akhbar ini pada 18 Mac lalu supaya kerajaan menaikkan harga komoditi itu sehingga RM5 sekilogram supaya ia selari dengan keadaan ekonomi semasa dan harga barangan yang terus mengalami kenaikan.

Pada ketika ini, harga getah antara RM3.20 ke RM3.40 sekilogram hanya membolehkan penoreh memperoleh pendapatan sekitar RM1,000 ke RM1,500 sebulan bergantung kepada jumlah hasil.

Sehubungan itu, kenaikan tersebut dapat membantu dan membolehkan lebih ramai penoreh getah keluar dari garis kemiskinan kerana harga getah sekerap jauh lebih rendah berbanding kelapa sawit sekali gus mewujudkan jurang yang besar antara pengusaha kebun getah dan kelapa sawit.

Akibat kemerosotan harga getah itu, ada pekebun mahu beralih kepada tanaman kelapa sawit.

Pihak kerajaan terutama agensi yang terlibat dalam pengeluaran dan pemasaran getah disaran mencari jalan agar hasil tanaman komoditi ini masih lagi menjadi sumber utama pendapatan orang kampung dan dalam masa sama terus menjadi salah satu eksport utama negara selepas kelapa sawit.

Gesaan supaya harga getah dinaikkan sehingga RM5 sekilogram amat wajar dalam mana keadaan ekonomi yang tidak stabil ini dengan berlaku kenaikan harga barangan keperluan harian.

Para pekebun getah turut tertekan dengan harga racun dan baja untuk tanaman itu yang turut mengalami kenaikan.

Diberitakan terdapat banyak kebun getah tidak diusahakan di seluruh negara kerana harganya tidak tetap dan tidak menjamin kehidupan keluarga pekebun.

Pemandangan kebun getah dipenuhi semak samun kerana pekebun beralih mencari pendapatan lain yang lebih terjamin dan berbaloi adalah satu perkara biasa.

BERSAING

Rentetan daripada itu, ada pekebun getah mahu beralih kepada tanaman sawit yang dilihat harganya tinggi dan boleh menjamin masa depan terutama yang berkeluarga ramai.

Tiba masanya kerajaan meneliti kembali masa depan tanaman getah ini seperti pasaran dan persaingan di peringkat antarabangsa.

Kita tidak mahu syarikat yang mengusahakan produk getah mendapat untung sedangkan pekebun kecil getah masih hidup dalam kemiskinan.

Kerajaan perlu berbuat sesuatu dan kaji di mana silapnya harga getah ini terlalu rendah, sukar untuk dinaikkan dan tidak tetap sepanjang masa.

Jika kita kalah dengan negara pengeluar seperti Indonesia dan Thailand, harus mengambil langkah-langkah yang sepatutnya seperti memperbesarkan ladang getah sedia ada dan meningkatkan produk getah supaya boleh bersaing di peringkat antarabangsa.

Badan penyelidikan getah negara perlu memperbanyakkan lagi kajian produk berasaskan getah supaya hasil tanaman itu terus mendapat sambutan dan mempunyai masa depan yang cerah.

Langkah memperkenalkan produk baharu yang menjadikan getah sebagai bahan mentah utama secara tidak langsung akan menyebabkan harga getah naik.

Jika kerajaan merasakan tanaman getah sudah tidak ada jaminan masa depan, kalah dengan produk getah tiruan, jalan terbaik tukar kepada tanaman lain seperti kelapa sawit yang dilihat boleh bertahan dengan kempen antisawit dan dapat bersaing dengan minyak kacang soya.

Kita tidak mahu rakyat di luar bandar yang hidup dalam kemiskinan masih lagi menaruh harapan kepada tanaman getah yang sudah tidak lagi boleh diharap untuk membina kehidupan mereka. – UTUSAN

ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya