KOTA KINABALU: Sebuah kontena mengandungi 847 kotak ayam sejuk beku yang mempunyai logo halal disimpan bersekali dengan daging babi disita oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah.
Ayam sejuk beku yang diangaarkan bernilai RM121,968 itu dirampas semasa serbuan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Pekhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) ke atas sebuah stor di Inaman semalam.
Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, PGA telah menahan kontena sejuk beku tersebut dan menyerahkan kepada KPDN Sabah untuk siasatan lanjut.
”Hasil pemeriksaan semula yang dijalankan KPDN Sabah ke atas kontena berkenaan telah menghasilkan sitaan sebanyak 847 kotak ayam sejuk beku yang yang mempunyai logo halal dianggarkan bernilai RM121,968 dan sebuah kontena sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM30,000.
”Jumlah keseluruhan nilai barang rampasan adalah sebanyak RM151,968,” katanya.
Menurut beliau, seorang lelaki tempatan yang merupakan pemilik premis yang ditemui di tempat kejadian diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan.
Sementara itu, daging babi disita oleh pihak JPVS untuk tindakan lanjut.
Kes ini akan disiasat di bawah Perintah 3 (1) (g) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 iaitu menyimpan barang yang diperihalkan sebagai halal dengan barang yang tidak diperihalkan sebagai halal berdekatan di satu tempat simpanan yang sama.
Beliau menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti salah laku dan tidak beretika peniaga berhubung penggunaan logo halal boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada KPDN Sabah melalui Whatsapp di talian 019-848800 atau portak e-Aduan KPDNhttp://eaduan.kpdn.gov.my; mahupun call Centre 1-800-886-800. – UTUSAN










