Adakah Taiwan terima nasib sama dengan Ukraine?

Adakah Taiwan terima nasib sama dengan Ukraine?

TAIWAN berada dalam situasi yang hampir sama dengan nasib Ukraine kerana berisiko ditawan oleh China. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PARA penganalisis mendakwa rancangan Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk melemahkan dan mengekang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Barat selama hampir dua dekad yang lalu musnah dalam sekelip mata selepas perancangannya di Ukraine tidak membuahkan hasil.

Bahkan tindakan Rusia di Ukraine telah memupuk jalinan lebih erat dalam kalangan pakatan NATO dan Barat.

Dalam pada itu, tindak balas Barat terutamanya Amerika Syarikat (AS) terhadap serangan Rusia tersebut turut diteliti oleh China.

Ini bagi membolehkan negara itu mengagak reaksi Washington sekiranya Beijing nekad untuk menggunakan pendekatan agresif yang sama seperti Rusia terhadap Taiwan.

Taipei berada dalam situasi yang hampir sama dengan nasib Kyiv, di mana kedua-dua bergelumang dengan risiko ancaman ditawan.

Namun, Beijing juga mengetahui tindak balas Barat dan AS terhadap situasi di Ukraine secara strukturnya adalah berbeza dengan tindakan sama yang mungkin diambil terhadap Taiwan.

Ini memandangkan kepentingan sistematik Taiwan dan rantau Indo-Pasi­fik serta tahap ancaman Beijing secara asasnya mengubah geopolitik secara sistematik.

Kebimbangan bahawa Beijing akan mengambil kesempatan konflik di Ukraine bagi mengalih perhatian Washington dan meneruskan agenda agresifnya di rantau Indo-Pasi­fik tidak dipandang rendah oleh perencana strategik dan pertahanan di AS.

Mereka meletakkan China sebagai ancaman bersasar tertinggi dan meneruskan usaha cegah rintang dan pengekangan perluasan Beijing di rantau tersebut, sekali gus terus mengekalkan keupayaan untuk menongkah dua konflik berskala besar pada satu-satu masa.

PELURU BERPANDU

Washington turut sedar konflik di Ukraine kali ini kekal terkawal dari segi risiko peningkatan kesan domino yang ketara yang akan melibatkan pertembungan dan penglibatan langsung NATO dan AS sekiranya garis merah yang digariskan kekal dipatuhi.

Ini menjadi sebab keengganan berterusan AS untuk menguatkuasakan zon larangan terbang walaupun dihimpit rayuan terdesak Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy.

AS turut enggan membekalkan senjata dan aset pertahanan ofensif yang akan membuka lembaran risiko berskala tinggi dan mengheret Barat ke kancah risiko konflik konvensional besar-besaran dan potensi ancaman nuklear.

Sebaliknya, AS akan kekal menjadikan rantau Indo-Pasi­fik dalam radar yang diutamakan, di mana China dan Korea Utara dilihat sebagai potensi ancaman terbesar.

Ujian peluru berpandu antara benua (ICBM) yang diadakan awal bulan ini menjadi mesej jelas daripada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un untuk mengekalkan kelebihan dalam rundingan dengan Washington.

Ancaman Pyongyang dilihat sebagai ancaman tertinggi oleh Seoul dan Tokyo, dicerminkan dalam persetujuan untuk kerjasama tiga serangkai dengan Washington secara lebih erat baru-baru ini oleh Presiden Korea Selatan yang baharu, Yoon Suk-yeol serta Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida untuk mengatasi risiko percaturan Jong-un.

Dalam perkembangan sama, negara-negara rantau Asia Tenggara kekal dihimpit kegusaran kemungkinan Beijing menangguk di air keruh dan cuba menguji reaksi Washington melalui tindakan sama di Taiwan.

Bagaimanapun, kebimbangan itu diredakan dengan keyakinan keupayaan berterusan cegah rintang AS yang menjadi tulang belakang pakatan baharu melibatkan Australia dan United Kingdom (UK) atau AUKUS serta Dialog Keselamatan Quadrilateral (QUAD) melibatkan AS, India, Australia dan Jepun.

Ia juga bersandarkan teori bahawa Barat dan AS menganggap Taiwan dan Indo-Pasi­fik adalah satu percaturan yang berbeza sepenuhnya berbanding dengan Ukraine. – UTUSAN

COLLINS CHONG YEW KEAT, Universiti Malaya (UM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.