AADK hadapi cabaran pulih penagih dadah sintetik - Utusan Malaysia

AADK hadapi cabaran pulih penagih dadah sintetik

AGENSI Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menghadapi cabaran dalam proses pemulihan akibat peningkatan penagih dadah jenis sintetik. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BAHAN terlarang jenis sintetik atau tiruan yang mengandungi 100 peratus bahan kimia digunakan secara meluas di Malaysia sejak tiga tahun belakangan ini berikutan kesukaran mendapatkan bekalan heroin.

Dadah jenis perangsang terbabit terkenal dalam kalangan penagih baharu yang menyifatkannya ‘selamat’ tanpa sebarang kesan ketagihan.

Hakikatnya, tanpa disedari dadah sintetik memberikan implikasi lebih teruk sehingga mengakibatkan kerosakan kekal pada otak yang menyumbang permasalahan mental dan penggunaan yang berlebihan boleh membawa maut.

Walaupun Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) berkemampuan memulihkan penagih dadah sintetik, namun cabaran merawat pulih golongan ini lebih rumit dan tinggi kosnya khususnya individu dalam kategori sebagai dual diagnosis.

Melalui Model i-Pulih, individu yang mengalami masalah penagihan dadah boleh dirawat pulih melalui Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti di 109 fasiliti AADK atau melalui Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi di 30 Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di seluruh negara.

Model i-Pulih menyediakan program rawatan dan pemulihan merangkumi aspek biologi, psikologi, spiritual dan sosial yang sesuai dengan keperluan pemulihan seseorang itu. Penekanan diberikan untuk membimbing individu tersebut untuk keluar daripada masalah ketagihan serta menjadi insan yang berfungsi, produktif kepada keluarga, masyarakat dan negara.

PANTAU

Agensi juga memantau individu yang telah tamat menjalani program rawatan dan pemulihan melalui program perkhidmatan selepas penjagaan bagi memastikan mereka terus mendapat bimbingan dan panduan dengan menyediakan latihan kemahiran dan vokasional, prapenempatan pekerjaan, jagaan lanjutan, program hijrah dan juga penglibatan pihak lain serta masyarakat setempat bagi menyokong dan membantu proses pemulihan sepanjang hayat individu ini.

AADK juga melaksanakan program pencegahan untuk meningkatkan kesedaran awam dan mendidik masyarakat untuk menjauhi dadah melalui Model i-Cegah.

Sudah sampai masanya untuk masyarakat dan ahli keluarga bersikap lebih terbuka dengan menerima kembali individu yang menjalani program rawatan dan pemulihan di fasiliti awam dan swasta. Sokongan dan dorongan berterusan akan membantu proses pemulihan individu terbabit.

Ahli-ahli keluarga dan kepimpinan masyarakat setempat juga perlu cakna dengan memujuk individu yang ada masalah penagihan untuk menjalani rawatan dan pemulihan sama ada di fasiliti AADK atau yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan atau Pusat Pemulihan Dadah Persendirian berdaftar. – UTUSAN

SUTEKNO AHMAD BELON, Ketua Pengarah AADK

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya