Tafsiran Malaysia negeri pantai dalam UNCLOS tidak berperlembagaan

Tafsiran Malaysia negeri pantai dalam UNCLOS tidak berperlembagaan

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Tanggapan Malaysia sebagai sebuah negeri pantai dalam Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) adalah tidak berperlembagaan jika ditafsirkan telah meletakkan segala hak negeri menjadi milik Kerajaan Persekutuan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan dari ISTAC Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, isu kewilayahan negeri dalam Persekutuan dan hak kedaulatan negeri tidak terlucut semata-mata UNCLOS hanya menyebut secara umum untuk meletakkan hak pelantar benua kepada setiap negeri berpantai.

Katanya, negeri pantai dalam UNCLOS  tidak boleh ditafsirkan Malaysia sebagai satu unit tunggal, tetapi Malaysia sebagai sebuah Persekutuan yang terdiri daripada sembilan buah negeri berdaulat yang kewilayahannya tidak pernah diserahkan kepada kerajaan Pusat melainkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Pada masa sama, hak Kerajaan Persekutuan terhadap pelantar benua adalah perairan yang bersambung dengan pantai Wilayah Persekutuan yang disebut dalam Perkara 1(4) Perlembagaan.

Malah, katanya, matlamat UNCLOS itu bukan untuk menafikan kedudukan dan hak negeri berdaulat dalam Persekutuan seperti Malaysia.

“Ia memperuntukan hak ke atas pelantar benua buat sebuah negeri pantai termasuklah statusnya seperti Malaysia adalah tertakluk kepada undang-undang tempatan.

“Pendekatan tafsiran untuk menafikan hak  negeri ke atas pelantar benua yang bersambung dengan wilayah kedaulatannya semata-mata kerana Kerajaan Malaysia mewakili kepentingan Negeri adalah tidak berperlembagaan,” katanya di sini semalam.

Sebelum ini, Wan Ahmad Fauzi memaklumkan, Kerajaan Negeri Terengganu boleh mencabar keabsahan peruntukan undang-undang Persekutuan yang menggunakan Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) bagi mengehadkan sempadan ma­ritim negara di mahkamah untuk mengelak hak mereka dinafikan.

Namun, ada pihak yang menyatakan bahawa UNCLOS selaku triti multilateral antarabangsa yang mentadbir wilayah kelautan sehingga hari ini secara jelas menetapkan bidang kuasa ke atas wilayah laut terletak di bawah Kerajaan Persekutuan dan bukannya negeri.

Menurut Wan Ahmad Fauzi, UNCLOS ialah sebuah konvensyen  antaranangsa dan pemakaiannya di Malaysia adalah tertakluk kepada terima pakai (adoption) oleh Parlimen dan peruntukan yang memelihara sifat kenegaraan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“UNCLOS itu hanya merujuk sebuah negeri pantai. Sifat sebuah negeri pantai yang berdaulat sudah pasti berbeza mengikut Perlembagaan negeri pantai antara satu sama lain.

“Kedudukan hak sebuah negeri pantai itu ditentukan mengikut undang-undang tertinggi yang menjadi tadbir urus sebuah negara.

“Pentafsiran sebuah negeri pantai dalam konteks sebuah negara tidak boleh ditafsir secara bebas kerana Malaysia mendukung ketinggian Perlembagaan yang memelihara ciri tersendiri, apatah lagi konvensyen antarabangsa tidak boleh menyentuh kedaulatan dalam negeri sebuah negara berdaulat” katanya.

Dalam pada itu terdapat peruntukan Perlembagaan yang turut menggariskan pengasingan antara kuasa penggubalan dengan pengurusan dan pemilikan hak seperti Kanun Tanah Negara dan Akta Kerajaan Tempatan.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan meletakkan asas pembentukan sebuah Persekutuan Tanah Melayu yang pada mulanya terdiri daripada sembilan Negeri Melayu berdaulat serta dua buah negeri Selat yang dikembalikan kepada raja-raja Melayu yang diwakili Yang di-Pertuan Agong.

Persekutuan Tanah Melayu ini melalui Perkara 2 Perlembagaan menerima tiga buah negeri jajahan British untuk meluaskan Persekutuan dan dinamakan Malaysia. Yang kekal pada hari ini ialah 13 Negeri dalam Malaysia selepas Singapura keluar.

“Hubungan antara Persekutuan dengan Negeri diperuntukkan dengan jelas. Kerajaan Persekutuan dibenarkan mewakili Negeri dalam urusan antarabangsa.

“Namun begitu ia tidak bermakna Malaysia itu milik mutlak Kerajaan Malaysia dengan menafikan hak dan kedudukan Negeri dalam Persekutuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN