Jangan mudah percaya kata manis pemimpin politik

Jangan mudah percaya kata manis pemimpin politik

KERATAN akhbar Utusan Malaysia, 23 Februari 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin mengulas kenyataan Anak Muda Muar yang diterbitkan dalam Forum Utusan Malaysia bertajuk Keliru sikap Syed Saddiq.

Artikel tersebut mempertikaikan sikap berbeza Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika ini. Syed Saddiq didakwa lebih mengutamakan kuasa berbanding tujuan asalnya untuk membantu anak muda, malah dilihat mempunyai agenda tersendiri dalam dunia politik.

Saya berpendapat agar anak muda tidak terlalu mudah terpengaruh dengan kata-kata manis daripada mana-mana pemimpin politik, sebaliknya mengkaji dan meneliti terlebih dahulu punca dan sebab perjuangan mereka dari segi baik serta buruknya.

Sebagaimana kita sedia maklum, Ahli Parlimen Muar itu selepas kira-kira seminggu menjadi wakil rakyat sudah berani mengatakan ketuanan Melayu telah berakhir dan terlibat pula dengan kes mahkamah. Jadi, sudah tentulah kedudukannya sebagai ahli Parlimen terjejas. Disebabkan itu, Syed Saddiq terus mencari jalan untuk mendapatkan kekuatan dan pengaruh semula.

Atas alasan itu, Syed Saddiq menubuhkan parti baharu bagi mengalih perhatian orang ramai sekali gus melupakan segala perbuatannya.

Berhubung jalinan kerjasama MUDA sebagai rakan strategik Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini seolah-olah menunjukkan beliau memerlukan kekuatan parti lain untuk menabur janji kepada pengundi. Mana mungkin Syed Saddiq mampu menunaikan janji-janji sekiranya bergerak sendiri.

Syed Saddiq juga saya sifatkan tidak jujur sekiranya membuat kenyataan tidak akan bekerjasama dengan DAP kerana beliau mendapat sokongan pengundi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Pesanan saya, dalam apa jua perjuangan sekali pun, pastikan tindakan kita selari dengan akidah dan syariat Islam. Keredaan Allah SWT mestilah menjadi nadi perjuangan hidup demi kebaikan pada masa depan.-UTUSAN

BAHARUDDIN SAMEK, Muar, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN