SAUDARA PENGARANG,
SALAH satu glamor yang saya sering lihat sejak zaman kanak-kanak ialah betapa hebat dan cool menjadi seorang perokok.
Memang ada gaya dan stail. Kita dibesarkan dengan imej sedemikian dan ramai dalam kalangan kawan saya mula merokok sejak usia muda dan akhirnya mereka ketagih kepada rokok.
Kini dalam umur 50-an, ramai masih lagi merokok tetapi yang sedihnya, kita kehilangan beberapa kawan kerana kanser paru-paru disebabkan rokok.
Jadi, apa yang kita patut buat? Duduk dan nasihat sahaja anak-anak muda kita supaya jangan merokok? Berkesankah jika ramai bapa juga masih merokok di depan anak-anak mereka?
Kita kini berada di ambang satu destinasi baharu iaitu persekitaran bebas rokok, tetapi adakah ia praktikal?
Tidak boleh dinafikan rokok boleh membunuh dalam pelbagai cara. Di Malaysia, kanser paru-paru adalah yang ketiga tertinggi dan merokok secara lazim adalah puncanya.
Menurut kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional 2019, kematian lebih 27,200 rakyat Malaysia dikaitkan dengan tabiat merokok. Kira-kira 15 peratus daripada jumlah itu adalah bukan perokok yang mati akibat terdedah asap rokok daripada perokok tegar.
Laporan itu mendapati tabiat merokok wujud pada 21.3 peratus dalam kalangan mereka yang berumur lebih 15 tahun dan jumlah perokok dianggarkan 4.8 juta orang. Antara mereka, 12.3 peratus berada dalam lingkungan umur 15 hingga 19 tahun.
Jika dilihat secara statistik, rokok adalah pembunuh yang lebih besar daripada Covid-19. Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan bercadang untuk mengharamkan merokok bagi generasi akan datang.
Ini akan dicapai melalui larangan penjualan rokok dan produk tembakau kepada mereka yang lahir selepas 2005. Dengan harapan untuk membentangnya di Parlimen tahun ini, ia dikatakan akan membawa kepada ‘generasi penamat tabiat merokok.’
Konsep ini akan melarang penjualan tembakau dan produk rokok lain kepada sesiapa yang lahir selepas 2005.
Saya sangat setuju dengan inisiatif ini kerana akan tiba masanya generasi masa depan tidak lagi tahu apa itu rokok.
Beliau juga bercadang mengawal selia rokok elektronik (vape) yang akhirnya akan membawa kepada tabiat berhenti merokok.
Kementerian Kesihatan menganggarkan terdapat 27,000 kematian disebabkan tembakau setiap tahun di negara ini seperti penyakit jantung, kanser dan strok.
Khairy juga menerangkan, inisiatif ini sama seperti model digunakan di New Zealand yang disambut baik oleh rakyat negara itu.
Tetapi kita tidak patut terlalu beria-ia dalam hal ini kerana jika kita terlalu tegas maka wujudlah satu sistem baharu untuk mengaburi kita semua.
Jika diharamkan sepenuhnya, penyeludupan rokok mungkin akan mula berleluasa dan inisiatif ini akan berakhir seperti banyak lagi yang telah gagal.
Dadah pun diharamkan di negara ini tetapi ia masih wujud dan menjadi musuh negara nombor satu.
Jadi, fikirlah sepenuh-penuhnya sebelum mengorak sebarang langkah kerana kejayaan atau kegagalan dalam hal ini akan digunakan sebagai pengukur dalam melaksanakan program-program lain pada masa depan.
MUSTAPHA AHMAD, Setapak, Kuala Lumpur