Sepatutnya sudah ada kereta terbang

Sepatutnya sudah ada kereta terbang

PENGGUNA mengalami kesukaran untuk mendapat maklumat perjalanan bas yang tepat di Lembah Klang. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MASUK tahun baharu 2022, masalah pengangkutan awam di Lembah Klang masih di takuk lama.

Pengangkutan awam terutama sekali bas, masih tiada tanda-tanda akan berlaku penambahbaikan.

Umum mengetahui Prasarana Malaysia Berhad adalah pemegang monopoli terbesar bagi laluan bas RapidKL di sekitar Lembah Klang, namun kualiti perkhidmatan ditawarkan masih di tahap lama.

Apa yang menjadi ralat kepada saya adalah kesukaran untuk mendapatkan maklumat ketibaan bas di stesen bas. Diakui RapidKL telah memperkenalkan aplikasi Pulse untuk telefon pintar.

Pengalaman saya menggunakan aplikasi itu amat mengecewakan. Maklumat perjalanan bas adalah tidak tepat.

Bila dilihat paparan aplikasi tersebut, bas akan tiba dalam tempoh lima minit, namun dalam sekelip mata paparan tersebut tiba-tiba bertukar menjadi 15 minit ataupun 30 minit.

Sebagai pengguna, sememangnya ada benda saya tidak faham mengenai sistem yang mereka gunakan.

Namun jika menggunakan logik akal, sekiranya paparan di aplikasi itu adalah tidak tepat, perlu ada pembetulan dibuat.

Jika diingat pada 1998, waktu zaman persekolahan, kita dimomokkan dengan teknologi serba canggih pada masa hadapan atau lebih tepat sekali pada 2020.

Dikatakan ketika itu, teknologi semakin canggih dengan adanya kereta terbang dan kehidupan dilengkapi kemudahan elektronik.

Nampaknya itu adalah ilustrasi pemimpin pada masa tersebut yang masih tidak menjadi kenyataan sekarang.

Menjadikan pengangkutan awam efektif adalah tanda aras kemajuan sesebuah negara.

Amat menyedihkan kerana kemudahan pengangkutan bas semakin ketinggalan sedangkan ia amat penting untuk mereka yang tiada kemudahan transit aliran ringan (LRT) dan transit aliran massa (MRT).

Adalah diharapkan pihak-pihak yang menguruskan perkhidmatan awam di negara ini terutama bas dapat melakukan penambahbaikan agar rakyat dapat menikmati kemajuan dalam segenap segi. – UTUSAN

LATIFAH ADU BAHASA, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN