SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini kita dikejutkan dengan beberapa kes harimau berkeliaran di kawasan kediaman manusia dan paling menyedihkan kematian gajah betina di Padang Terap, Kedah disyaki termakan racun.
Begitu juga empat kes kematian penyu secara berturut-turut di Pantai Kijal, Kemaman, Terengganu yang terdapat kesan kecederaaan di bahagian badan haiwan berkenaan dipercayai akibat tersangkut pada pukat nelayan.
Apakah alamat kepada kita kejadian sedemikian berlaku? Saya berharap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu agar haiwan yang hampir pupus in dapat terus hidup dengan mengetatkan undang-undang.
Undang-undang berkenaan harus dipastikan dapat memberikan perlindungan sewajarnya terhadap haiwan terbabit daripada kerakusan dan ketamakan manusia.
Kalau ikut pandangan saya, penerokaan kawasan hutan yang luas seperti aktiviti pembalakan dan pembukaan kawasan hutan dara telah mengganggu-gugat habitat haiwan ini selain menyebabkan sumber makanan turut berkurangan.
Akibatnya haiwan terbabit terpaksa masuk ke kawasan kampung untuk mencari makanan sehingga memusnahkan tanaman penduduk seperti pisang dan kelapa sawit.
Begitu juga peningkatan kegiatan pemburuan haram yang bergerak aktif untuk mendapatkan kulit binatang, gading dan bahagian lain yang dijual dalam pasaran gelap telah mengganggu kehidupan gajah dan harimau.
Kematian penyu ini pula kebanyakannya akibat lemas dan tercedera terkena pukat nelayan dan memakan sisa sampah seperti penyedut minuman dan plastik.
Pihak yang memantau nelayan perlu memastikan mereka mematuhi syarat penggunaan jenis pukat yang sesuai supaya hidupan air dapat dilindungi daripada kepupusan.
Di samping itu, kerajaan perlu melantik pengawas pantai untuk mengawasi dan melindungi pantai daripada aktiviti nelayan menggunakan pukat yang diharamkan dan pencemaran di kawasan pantai.
Akhir kata, pihak berkuasa hendaklah bertindak cepat agar kehidupan haiwan liar milik negara ini mendapat perlindungan sewajarnya dan tidak pupus. – UTUSAN
ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang