SAUDARA PENGARANG,
PENDEDAHAN bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkaitan tiada istilah payung emas menurut mana-mana hadis, sebaliknya ia adalah hadis palsu yang membuka mata banyak pihak.
Selain isu itu, orang Melayu kerap menjatuhkan hukum tanpa merujuk agamawan atau mufti. Begitu juga kepercayaan terhadap hukum karma yang tiada dalam Islam sebaliknya ia adalah fahaman dan kepercayaan dalam agama Hindu, Buddha dan Sikh.
Benarlah, orang Melayu gemar menggunakan agama untuk kepentingan individu lantas mengabaikan hak-hak lain. Ia sudah menjadi duri dalam daging yang sukar diubah.
Malah, masyarakat Melayu masih lagi terikat dengan kepercayaan yang dicipta orang dahulu. Pada zaman moden ini juga masih lagi ada umat Islam yang terpengaruh dan berpegang pada kepercayaan benda ghaib seperti toyol, pelesit, hantu, bomoh dan sebagainya.
Agar sukar untuk generasi hari ini menerangkan tentang perkara khurafat yang bercanggah dengan ajaran Islam kerana kepercayaan terhadap perkara-perkara tersebut sudah sebati dalam jiwa mereka. Lagi pula jarak umur dan pengalaman tidak memungkinkan perkara itu terjadi.
Jadi, pendedahan seperti dilakukan oleh Zulkifli amat bagus kerana ia diharap dapat mengubah pandangan dan pendirian umat Islam. Usaha-usaha ini perlu diperluaskan di media massa dan media sosial agar generasi hari ini dan akan datang lebih peka tentang perkara berkaitan Islam.
Kita tidak mahu anak muda masih terbawa-bawa fahaman yang sebenarnya tidak terkandung dalam ajaran Islam sehingga mendatangkan kepercayaan yang melampau atau khurafat.
Justeru, umat Islam perlu percaya kepada rukun iman keenam iaitu qadak dan qadar. Setiap perkara yang berlaku pastinya dengan kebenaran Yang Maha Esa. Hal ini sekali gus akan menambah iman kepada seseorang.-UTUSAN
FITRI AHMAD, Kuala Lumpur