PSM harus mesra pekerja

PSM harus mesra pekerja

SUDAH tentu pekerja rasa dihargai apabila pengurus keselamatan mengambil berat keselamatan mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERANAN pentadbir sumber manusia (PSM) sektor awam dan swasta hari ini semakin mencabar sama ada dalam era pandemik Covid-19 atau tidak yang mana pekerja menghabiskan sebahagian besar kehidupan di tempat kerja. Maka persekitaran kerja yang selamat dan sihat bukan sahaja mendorong pekerja untuk lebih komited terhadap tugas, bahkan menyumbang kepada produktiviti organisasi.

Tanpa sedari, PSM mempunyai skop tugas yang sangat luas dengan pelbagai aktiviti bermula daripada proses pengambilan, perjawatan, perkhidmatan sehinggalah kebajikan pekerja. PSM juga terlibat dalam pematuhan akta dan peraturan berkaitan keselamatan, pembangunan program
keselamatan, penilaian risiko dan komunikasi hazard.

Rasionalnya, kecederaan dan penyakit berkaitan pekerjaan akan mengakibatkan pekerja mengambil cuti sakit untuk tempoh masa yang panjang atau terpaksa berhenti kerja. Senario ini membawa lebih banyak cabaran kepada PSM untuk mengatasinya.

Kebanyakan organisasi berpendapat keselamatan dan kesihatan hanya perlu dipertanggungjawabkan kepada PSM dan pekerja yang mempunyai tugas berisiko tinggi seperti di kilang, tapak pembinaan dan sebagainya. Bagaimanapun, untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja terjamin, pendidikan dan pelaksanaan perlu bermula dari peringkat teratas termasuk kepimpinan, PSM dan pekerja.

Selain mentadbir, PSM memainkan peranan besar dalam menyampaikan hala tuju organisasi terhadap warga kerja, sekali gus meningkatkan lagi semangat pekerja dan mempengaruhi budaya kerja organisasi.

Kebiasaannya, ia disalurkan melalui dasar keselamatan yang membuktikan komitmen pengurusan atasan dalam menyediakan persekitaran kerja yang selamat.

Umum menyedari PSM bertanggungjawab memastikan pekerja dilatih dalam melaksanakan tugas rutin secara lebih efisien. Namun begitu, selain latihan teknikal, kompetensi, kualiti serta kepimpinan, latihan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan juga penting tidak kira dalam apa juga industri.

Pada masa sama, komunikasi terhadap dasar keselamatan dan kesihatan pekerjaan bergantung kepada inisiatif yang diambil oleh PSM. Justeru, PSM menjadi orang tengah yang mudah didekati untuk pekerja menyalurkan sebarang keraguan dan persoalan. Hak bersuara dan menyatakan pendapat akan lebih dinamik apabila mereka mengetahui PSM terlibat dan berpengetahuan dalam pelan keselamatan organisasi.

Latihan dalam talian sudah menjadi satu kelaziman bagi PSM membantu pekerja untuk memastikan aktiviti kerja dapat dijalankan seperti biasa dalam kekangan tidak dapat bersemuka, di samping mempelajari pengetahuan dan kemahiran baharu dan membina kompetensi diperlukan.-UTUSAN

MOHD. RAFIZI RAHMAD & DR. ISMANIZA ISMAIL, pentadbir sumber manusia (PSM), Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN