Persepsi tidak semestinya sama dengan realiti sebenar - Utusan Malaysia

Persepsi tidak semestinya sama dengan realiti sebenar

MALAYSIA sepatutnya diletakkan pada kedudukan lebih baik dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 jika mengambil kira tindakan agresif SPRM menangkap pelaku rasuah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MALAYSIA jatuh lima anak tangga ke kedudukan 62 daripada keseluruhan 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 dikeluarkan Transparency International (TI) berbanding kedudukan ke-57 pada 2020.

Malah, negara kita juga mencatat skor 48 daripada 100 berbanding skor 51 pada 2020, berdasarkan tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara mengikut skala 0 (paling korup) hingga 100 (paling bersih).

Secara ringkas dengan melihat kepada angka sahaja, kejatuhan kedudukan dan skor ini sememangnya memberi tanggapan kegiatan rasuah semakin serius di negara ini.

Bagaimanapun, kedudukan dan skor Malaysia dalam CPI 2021 tidak perlu dilihat daripada sudut persepsi semata-mata tetapi juga sudut realiti.

Perkataan persepsi pun sudah boleh dipersoalkan kerana bahasa mudah ia hanya tanggapan.

Kalau persepsi menyatakan kedudukan Malaysia dalam CPI 2021 jatuh atau gejala rasuah semakin serius, adakah ia merujuk kepada jumlah tangkapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang meningkat?

Ini masalahnya kerana persepsi dan realiti selalu bertentangan. Misalnya, pada 2021, statistik tangkapan SPRM menunjukkan seramai 847 individu terdiri daripada pelbagai latar belakang ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Jika dirujuk portal SPRM, kadar sabitan juga meningkat termasuk juga pengekalan jatuh hukum terhadap bekas Perdana Menteri.

Kedudukan dan skor Malaysia dalam CPI 2021 jelas tidak mencerminkan tindakan SPRM membanteras rasuah dalam sektor perolehan, penguatkuasaan dan rasuah berskala besar yang seiring dengan transformasi ekonomi dan perkembangan sosiobudaya masa kini negara kita.

Malaysia sepatutnya diletakkan pada kedudukan lebih baik jika mengambil kira tindakan agresif dan tangkapan ke atas individu yang terbabit dalam kegiatan rasuah.

Rakyat juga seharusnya bijak menilai dan tidak melihat hanya dari sudut persepsi pakar antarabangsa semata-mata. Sebaliknya, turut melihat kepada aktiviti dan tindakan sudah dilaksanakan dalam usaha membanteras rasuah di negara ini.

Kita harus sedar, laporan mengenai kedudukan dan skor Malaysia dalam CPI 2021 dibuat berdasarkan persepsi daripada ekspatriat luar negara dan bukan oleh masyarakat tempatan.

Malah, hasil laporan berkenaan juga tidak selari dengan tindakan dilakukan agensi-agensi di Malaysia.

Sebagai contoh, kebanyakan kajian CPI 2021 menyentuh isu perundangan dan melibatkan Perlembagaan Persekutuan seperti transformasi institusi pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan suruhanjaya itu.

Ini termasuk pindaan peruntukan undang-undang berkaitan dana politik, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, kes yang melibatkan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) dan lain-lain yang di luar bidang kuasa SPRM.

Isu yang disentuh ini melibatkan peranan serta fungsi badan atau agensi berkaitan. Janganlah hanya menuding jari kepada SPRM sahaja kerana banyak agensi kerajaan lain juga terlibat.

Perlu diberi perhatian juga, di Malaysia sistem pengasingan kuasa dilaksanakan. Pihak legislatif, eksekutif dan judisiari menjalankan fungsinya tanpa sebarang campur tangan.

Segala tindakan tidak dibuat oleh satu pihak sahaja. Masih ada mekanisme semak dan imbang.

Bagi mengukuhkan serta meningkatkan lagi keberkesanan CPI ini, ia perlu melibatkan peranan serta tanggungjawab dari semua pihak berkaitan dasar pentadbiran negara.

Jadi, janganlah melihat kepada kedudukan dan skor ini, kita terus berdukacita tetapi seharusnya memberi lagi semangat kepada semua agensi terutama SPRM untuk melaksanakan tugas.

ZHARIEF ADAM, Shah Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya