Penduduk Taman Selaseh 1 bimbang - Utusan Malaysia

Penduduk Taman Selaseh 1 bimbang

PENDUDUK risau berlakunya kejadian tidak diingini selepas mendapati mendapan tanah dengan bukaan retakan selebar tiga sentimeter dengan jarak lebih tiga meter dari lubang korekan. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENDUDUK Taman Selaseh 1, Batu Caves, Selangor menggesa pihak pemaju, Panji Selaseh Sdn. Bhd. (PSSB) mengemukakan aku janji  bersetem bagi mematuhi syarat-syarat ditetapkan untuk mengelakkan masalah mendapan tanah akibat korekan pemasangan paip kumbahan.

Kerja-kerja korekan bagi pemasangan paip kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) bagi pembangunan Pangsapuri Selaseh secara usahasama antara Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan PSSB melibatkan  560 unit apartment kos sederhana, 80 unit kos rendah, empat unit kedai dan kemudahan berkaitan di atas tanah milik MPS seluas 9.2 ekar terbengkalai sejak lebih 13 tahun lalu.

Pada 2018, pemaju dan jurutera ZBO Consultancy mengubah laluan asal paip kumbahan berukuran 300 milimeter (mm) kepada laluan baharu melalui jalan-jalan perumahan di sekitar Taman Selaseh 1 menggunakan kaedah open cut dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan melibatkan korekan sedalam dua hingga 4.5 meter yang mungkin akan mengakibatkan beberapa masalah kepada penduduk sekiranya dilaksanakan tanpa kajian  menyeluruh.

Bimbang dengan masalah yang mungkin terjadi, penduduk mengemukakan beberapa siri bantahan serta dialog sejak 2019 sehingga Februari 2021. 

Antara asas bantahan yang dikemukakan adalah melibatkan aspek teknikal dan sosial. Sepatutnya pertemuan dan persetujuan penduduk perlu diadakan terlebih dahulu sebelum sesuatu projek diluluskan.

Selain itu, timbul persoalan, adakah kerja-kerja itu memenuhi semua peraturan dan syarat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi teknikal seperti IWK, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan lain-lain. Selain itu, adakah penduduk akan menerima ganti rugi sekiranya memberi kesan kepada harta benda dan ketenteraman?

Walaupun banyak aduan dikemukakan, tapi nampaknya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham dan  Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Al seolah-olehi tidak menunjukkan kepekaan, keprihatinan sebaliknya memberi reaksi ala-ala terkejut apabila kerja korekan ini diteruskan.

Permerhatian mendapati kualiti kerja yang dijalankan oleh kontraktor tidak mencapai piawaian sepatutnya. Kelalaian dan kecuaian pihak perunding, kontraktor dan pemaju akan mengakibatkan kerja korekan tidak mencapai piawaian kejuruteraan sekali gus mengundang masalah lain yang akan ditanggung oleh penduduk.

Pihak pemaju hanya menyatakan secara lisan bagi tanggungan ganti rugi, namun ia hanya ditanggung dalam Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP) iaitu 24 bulan. 

PENDUDUK TAMAN SELASEH 1, Batu Caves, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN