Lebih hebat jika pensyarah berpolitik

Lebih hebat jika pensyarah berpolitik

TERDAPAT pelbagai kerenah birokrasi sekarang yang menyukarkan pensyarah melibatkan diri dalam politik. – GAMBAR HIASAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA bulan lalu, kerajaan memberi kebenaran kepada guru dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk berpolitik berkuat kuasa serta-merta sebagai menghormati prinsip demokrasi memandangkan sebelum ini golongan berkenaan dilarang berbuat demikian.

Baru-baru ini juga, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan sedang meneliti untuk memberi kebenaran kepada penjawat awam terbabit dalam aktiviti politik.

Kebenaran untuk memberi kebenaran kepada penjawat awam khususnya warga pendidik terlibat dalam aktiviti politik harus dilihat dari sudut positif oleh semua pihak.

Bagaimanapun, saya mendapati ada satu lagi kumpulan yang boleh memberi sumbangan besar kepada dunia politik iaitu pensyarah universiti.

Pensyarah memiliki tahap intelek dan kebijaksanaan tinggi yang boleh digunakan bagi memberi khidmat bakti kepada masyarakat sebagai ahli politik.

Kita tidak seharusnya mengehadkan sumbangan pensyarah kepada masyarakat melalui penerbitan buku dan artikel ataupun setakat memberi syarahan di seminar atau persidangan.

Pensyarah seharusnya dibenarkan untuk menawarkan diri sebagai calon pilihan raya. Pada masa kini agak sukar pensyarah melibatkan diri secara aktif dalam politik dan menjadi calon kerana perlu mendapat kebenaran daripada ketua jabatan, dekan atau naib canselor di universiti mereka.

Kebenaran ini dilihat sukar untuk diperoleh. Akibatnya, mereka yang ingin melibatkan diri secara aktif dalam dunia politik termasuk menawarkan diri sebagai calon pilihan raya selalunya akan meletakkan jawatan terlebih dahulu.

Sekiranya menang pilihan raya, impian mereka untuk berbakti kepada masyarakat sebagai seorang wakil rakyat dapat dipenuhi. Jika tewas, mereka sudah menjadi seorang penganggur.

JPA

Perkara sebegini menyebabkan ramai pensyarah berasa bimbang, takut dan teragak-agak untuk menceburkan diri secara aktif dalam politik. Sekiranya situasi ini berterusan, ia suatu kerugian kepada negara.

Rakyat berhak untuk memiliki seorang wakil rakyat yang berkualiti, bijak serta mampu berkhidmat dengan cekap dan profesional yang semua ciri ini ada pada golongan pensyarah.

Oleh yang demikian, dicadangkan JPA mengeluarkan satu pekeliling baharu dan jelas bagi memudahkan ahli akademik atau pensyarah khususnya yang berada di universiti awam untuk menawarkan diri sebagai calon pilihan raya.

Kemudahan ini termasuk membolehkan pensyarah untuk terlibat dengan sebarang jenis aktiviti politik dan menawarkan diri sebagai calon pilihan raya tanpa perlu meminta kebenaran atau meletak jawatan terlebih dahulu.

Sepanjang waktu kempen sebagai calon pilihan raya, pensyarah terlibat perlu mengambil cuti tanpa gaji supaya fokus dapat diberikan olehnya untuk berkempen.

Syarat paling penting sekali ialah pensyarah yang menawarkan diri sebagai calon pilihan raya perlu memastikan segala tugas dan tanggungjawab hakiki mereka di universiti tidak terganggu terutama proses pengajaran dan pembelajaran.

Sekiranya pensyarah yang menawarkan diri sebagai calon pilihan raya menang, mereka perlu meletakkan jawatan dengan segera supaya tumpuan dapat diberikan sepenuhnya terhadap tugas sebagai wakil rakyat.

Sekiranya pensyarah ini tewas dalam pilihan raya, mereka perlu dibenarkan bertugas seperti biasa dengan jawatan sedia ada sebagai seorang penjawat awam. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya