SAUDARA PENGARANG,
DATA Kajian Kesihatan Mulut Kebangsaan menunjukkan tujuh daripada 10 kanak-kanak berumur lima tahun mengalami kerosakan gigi (karies) pada gigi susu. Walaupun terdapat program penjagaan kesihatan mulut prasekolah sejak tiga dekad lalu, namun kadar karies menurun sangat perlahan berbanding kumpulan umur lain.
Umum mengetahui kerosakan gigi mempunyai kesan negatif terhadap kualiti hidup seperti kesakitan, ketidakselesaan, kesukaran untuk makan, masalah semasa tidur dan gangguan aktiviti harian. Masalah gigi anak-anak juga akan mengganggu ibu bapa dan memberi impak dari sudut kewangan bagi mendapatkan rawatan yang lebih kompleks di kemudian hari.
Untuk anak-anak kecil, mereka masih memerlukan bantuan ibu bapa kerana belum berupaya untuk melakukannya sendiri.
Bukti saintifik menunjukkan status kebersihan dan kesihatan mulut ibu bapa menentukan sejauh mana mereka akan melibatkan diri dalam menggalakkan penjagaan kesihatan mulut di rumah. Amalan kebersihan mulut yang baik untuk golongan kanak-kanak akan diperkukuh lagi di sekolah dengan sokongan guru.
Kajian tempatan dilakukan saya bersama pasukan penyelidik di Kampar, Perak menunjukkan program kesihatan pergigian prasekolah merangkumi penyertaan aktif ibu bapa mampu menurunkan peratus plak gigi kanak-kanak dengan ketara berbanding penglibatan ibu bapa yang rendah.
Data kajian juga menunjukkan penglibatan ibu bapa dalam program ini dapat membantu penurunan kadar pengambilan makanan dan minuman manis kanak-kanak tadika.
Cadangan utama untuk meningkatkan kesihatan mulut kanak-kanak prasekolah adalah dengan memperkasakan peranan ibu bapa, penglibatan guru dalam aktiviti kesihatan pergigian di sekolah dan mengukuhkan peranan pengamal pergigian. Ini kerana ia perlu dilengkapi dengan amalan pencegahan di rumah dalam rutin seharian.
Ibu bapa digalakkan memberus gigi bersama anak-anak kecil, memantau aktiviti memberus gigi mereka dan memberi galakan berterusan untuk meneruskan rutin harian yang positif. Amalan pencegahan seperti memberus gigi dua kali sehari untuk tempoh dua minit, penggunaan ubat gigi berfluorida serta mengurangkan pengambilan makanan dan minuman bergula adalah sangat digalakkan.
Perkara ini menjadi amat mustahak lebih-lebih lagi semasa tempoh pandemik. Ini kerana banyak perkhidmatan pergigian di sekolah tergendala dan rawatan di klinik pergigian pula memberi keutamaan kepada kes kecemasan sahaja.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. NOR AZLIDA MOHD. NOR & PROFESOR ZAMROS YUZADI MOHD. YUSOF, Universiti Malaya