SAUDARA PENGARANG,
SECARA tidak sedar, kita sebenarnya menyentuh pelbagai permukaan di tempat umum yang boleh menyebabkan penyebaran Covid-19. Salah satu contoh adalah kaunter pembayaran di mana beribu-ribu orang menyentuh permukaan yang sama.
Sudah tentu kita akan mencuci dengan pensanitasi tangan, namun tidak semua orang dapat mengingatkan diri untuk sentiasa menggunakannya terutama pada setiap masa selepas menyentuh barang di pasar raya, restoran, pusat beli-belah, mesin teler automatik (ATM) dan sebagainya.
Hal ini amat menggusarkan kerana penggunaan wang tunai mampu meningkatkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 berikutan berlakunya pertukaran wang antara pembeli dan penjual.
Demi keselamatan, penggunaan pembayaran tanpa tunai harus dipraktikkan di tempat umum. Dengan kemudahan teknologi dan internet, kita boleh melakukan pembayaran menggunakan kad debit atau kad kredit melalui kaedah paywave.
Selain itu, penggunaan bayaran secara talian menerusi telefon pintar seperti QR Pay juga harus digalakkan. Pada waktu sama, perkara ini juga dapat mengelakkan kesesakan semasa melakukan pembayaran di kaunter.
Selain itu, QR Pay juga amat mesra pengguna disebabkan tidak lagi perlu membawa sejumlah besar wang tunai kerana kini segalanya berada di hujung jari menggunakan telefon pintar.
Gerai-gerai kecil juga harus mengaplikasikan penggunaan pembayaran tanpa sentuh dengan mempamerkan kod QR di hadapan kaunter bayaran supaya pembeli boleh membuat pembayaran dengan mudah dan selamat.
Tahun 2022 sudah pun menjelang, sudah tiba masanya untuk Malaysia mengecap kemajuan dalam kehidupan dan kita haruslah bersama-sama menangani wabak Covid-19. Masa depan negara terletak di tangan kita, sama-sama kita jaga kita.
KAMILIA HIDAYAH ZULKIPLI, Universiti Teknologi Mara (UiTM)