SAUDARA PENGARANG,
KETIKA ini jangkitan Omicron semakin berleluasa di negara ini. Semua juga sudah maklum varian ini lebih mudah berjangkit berbanding yang sebelumnya.
Namun, sikap sesetengah individu sangat mengecewakan. Masih ramai lagi yang tidak peka fungsi pelitup muka walaupun sudah hampir dua tahun hidup dalam pandemik.
Fungsi pelitup muka adalah untuk mengelak penyebaran virus daripada individu kepada individu lain. Disebabkan itu kita digalakkan memakai pelitup muka terutama ketika berada di tempat awam bagi mengelak virus tersebar melalui titisan air liur.
Bagaimanapun, ramai yang gemar membuka pelitup muka ketika bersin. Bukan sekali dua saya berjumpa dengan individu yang berperangai sebegini.
Baru-baru ini pun ketika beratur membeli makanan di sebuah premis makanan segera, ada individu yang sengaja membuka pelitup muka semata-mata untuk bersin.
Sudahlah premis berkenaan tertutup dan berhawa dingin, tidakkah kalau si polan itu ada virus, yang lain juga akan terjangkit?
Jadi, apa gunanya pakai pelitup muka kalau setiap kali hendak bersin dibuka pula? Bersinlah dalam pelitup muka supaya virus tidak berterbangan di udara dan memudaratkan orang lain. Tambahan pula, kes baharu positif harian sudah mencecah lebih 27,000.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab setiap orang untuk mematuhi semua langkah kesihatan dan sosial bagi mengurangkan risiko jangkitan secara besar-besaran.-UTUSAN
HANA, Sungai Buloh, Selangor