SAUDARA PENGARANG,
PENINGKATAN semula kadar jangkitan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini ternyata membimbangkan semua pihak.
Situasi ini jelas menjadi satu kejutan kepada semua pihak yang semakin leka dengan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini.
Penyebaran varian Omicron yang semakin mengganas memburukkan keadaan sedia ada. Keadaan ini dilihat berupaya menjadi lebih buruk sekiranya tiada apa-apa langkah dijalankan terutama di peringkat akar umbi.
Dalam hal ini, masyarakat disaran kembali menjaga SOP sebagaimana dilakukan semasa peringkat awal wabak ini melanda negara.
Langkah berjaga-jaga wajar dijalankan seperti penjagaan jarak fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan sanitasi serta pengambilan vaksinasi bagi tujuan peningkatan imuniti.
Hal ini kerana aspek penjagaan SOP dilihat semakin diabaikan dalam kalangan masyarakat selepas kelonggaran diberikan oleh kerajaan.
Perkara ini ditambah dengan sikap segelintir masyarakat melanggar peraturan lain seperti larangan merokok di tempat awam yang jelas memburukkan keadaan sedia ada.
Kebersamaan masyarakat dalam menangani wabak Covid-19 wajar diperkuatkan semula. Sikap kebertanggungjawaban serta perasaan menjaga satu sama lain daripada jangkitan wabak ini harus dipupuk serta dipertingkatkan semula.
Catatan rekod sifar kes penularan tempatan pada Julai 2020 menjadi bukti menerusi kesepaduan hati rakyat di negara ini untuk menjaga SOP dan berusaha bersama-sama kerajaan dalam menurunkan kadar kes jangkitan Covid-19.
Kita pernah berjaya mencapai tahap tersebut. Oleh itu, marilah bersama-sama berusaha mengembalikan semula kejayaan berkenaan.
Di samping penjagaan SOP, penolakan berita-berita palsu seperti bahaya dos penggalak yang ditularkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab juga wajar terus dijalankan.
Portal Sebenarnya.my merupakan laman web terbaik dalam menyemak kesahihan sesuatu berita. – UTUSAN
DR. MOHAMAD HAFIFI JAMRI & PROFESOR MADYA DR. ABDUL RAUF RIDZUAN, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka