Cukup-cukuplah berpolitik, tumpu ekonomi

Cukup-cukuplah berpolitik, tumpu ekonomi

KERATAN akhbar Utusan Malaysia, 18 Februari 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin mengulas kenyataan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, bertajuk Kestabilan politik bantu pulih ekonomi yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 18 Februari lalu.

Beliau jelas tidak meletakkan kesalahan kepada rakyat sebaliknya berkaitan masalah pemerintahan dan pentadbiran negara dan negeri di bawah pemimpin politik setiap kali selepas pilihan raya diadakan.

Beliau juga menegaskan, Malaysia memerlukan kestabilan politik bagi memulihkan kembali sektor ekonomi yang tidak menentu selepas Pilihan Raya Umum 2018 dan sekiranya tiada kestabilan politik, Malaysia bukanlah negara yang menjadi keutamaan pelabur luar untuk datang.

Johari memberi contoh, Indonesia banyak menerima kemasukan pelabur disebabkan pertandingan presidennya diadakan setiap lima tahun dan selepas habis pertandingan, tidak pernah dengar di negara terbabit bercerita pasal politik.

Apa yang menjadi persoalan besar di Malaysia ialah percakaran dan permainan politik melibatkan pemimpin sebangsa dan seagama sangat mendukacitakan.
Insaflah wahai ahli politik yang meletakkan kuasa politik melangkaui hukum agama sehingga menolak atau mengetepikan ajaran Islam.

Inilah bahananya apabila ulama atau mufti mahupun mereka yang berilmu seperti pensyarah tidak menegur pemimpin politik secara jelas dan tepat, sebaliknya hanya berkata-kata secara berselindung.

Akhir sekali, siapa sebenarnya yang tidak menstabilkan politik? Tepuk dada tanya iman.

Bersatupadulah kamu wahai pemimpin kerana itu adalah berkat dan rahmat dan jangan sesekali bercerai-berai, bertelagah ataupun bercakaran sesama sendiri.

Fikirkanlah juga kesusahan rakyat yang semakin tertekan sementara golongan atasan terus bersenang-lenang.-UTUSAN

BAHARUDDIN SAMEK, Muar, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN