SAUDARA PENGARANG,
BAIT Al Amanah menyeru kerajaan melaksanakan saranan Majlis Pemulihan Negara (MPN) agar kembali membuka sempadan negara pada 1 Mac nanti.
Kami yakin MPN telah mempertimbang syor pembukaan sempadan dengan sebaiknya. Ia pasti dibuat berdasarkan segala dapatan sains, pertimbangan kesihatan dan kepentingan strategik negara.
Kerajaan telah melakukan segala yang mungkin untuk memastikan rakyat dilindungi melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Malah program vaksinasi nasional itu adalah antara yang paling berjaya di dunia.
Telah tiba masanya kerajaan menyandarkan keyakinan kepada rakyat untuk penjagaan dan perlindungan kesihatan mereka.
Pembukaan pelbagai sektor domestik tanpa pembukaan sempadan tidak akan menyumbang kepada kerancakan pertumbuhan yang mampu merangsang ekonomi negara secara lestari.
Malaysia mesti yakin untuk bergerak ke hadapan tanpa rasa ragu bahawa sistem kesihatan negara mampu berfungsi sebaiknya.
Pelbagai sektor ekonomi bergelut dengan kemalapan yang serius semenjak March 2020.
Meneruskan penutupan sempadan adalah strategi tidak munasabah dan mematikan potensi serta kebolehsaingan pemain ekonomi negara.
Tindakan pelbagai negara luar membuka sempadan negara membuktikan ia adalah keputusan yang sebaiknya dan wajar dituruti.
Malaysia tidak boleh berterusan mengasingkan diri dengan pelbagai sekatan perjalanan, protokol kesihatan tidak berkesan dan kebimbangan tekanan terhadap sistem kesihatan yang nyata berfungsi dengan baik.-UTUSAN
DR. ABDUL RAZAK, Pengarah Pengasas Bait Al Amanah