Bertindak cepat tarik pelabur demi generasi masa depan

Bertindak cepat tarik pelabur demi generasi masa depan

generasi
KERAJAAN perlu mendapatkan khidmat Jabatan Audit Negara bagi memastikan wang untuk memulih ekonomi tidak digunakan bagi membantu kroni. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, saya terbaca kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai apa yang bakal diwarisi oleh generasi masa depan kita.

Malaysia kini menghadapi masalah ekonomi, sosial, hubungan kaum serta politik dan semuanya mempunyai penyelesaiannya tersendiri.

Selain itu, negara kita juga berhadapan dengan masalah tidak diduga seperti pandemik Covid-19.

Saya bersetuju apa yang dirancang oleh Kementerian Kewangan dan ia perlu diberi pengiktirafan, terutamanya usaha-usaha yang mengutamakan keperluan rakyat, golongan rentan, masyarakat luar bandar, peniaga kecil dan sebagainya.

Yang senang ialah mengkritik atau bercakap tetapi bukan mudah nak mengemudi ekonomi, apatah lagi dengan cabaran Covid-19.

Apabila kita melihat Bajet 2022 dan pelbagai insentif di dalamnya, memang jelas ia berjiwa rakyat.

Jelas rakyat dan sektor perniagaan mempunyai banyak peluang untuk memulih kehidupan mereka seperti sediakala setelah tergendala lebih dua tahun. Yang penting, kita bersedia ambil kesempatan yang ada.

Apa yang sama penting, janganlah kita terpengaruh dengan politik golongan berkepentingan. Sebagai contoh, isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), di mana masih ada lagi yang mendesak pengeluaran RM10,000 sekali bayar.

Mereka lupa, sebelum ini pun kerajaan sudah membenarkan pengeluaran KWSP sehingga RM71,000 dan banyak juga bantuan langsung dan subsidi yang diberi oleh kerajaan.

Saya juga menyambut baik langkah Kementerian Kewangan dalam memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal.

Walaupun saya bukan pakar kewangan, namun apa yang disiarkan media memberi gambaran jelas mengapa akta ini amat penting untuk memberi keyakinan kepada pelabur terhadap prospek pemulihan ekonomi negara.

Ramai antara mereka mungkin sudah mula menilik pasaran lain seperti Vietnam dan Indonesia. Kita perlu bergerak cepat untuk menarik pelabur-pelabur ini.

Selain itu, tidak dinafikan, semenjak penubuhan Petronas pada 1970-an, kerajaan banyak bergantung kepada hasil gas dan petroleum terutama di waktu sukar seperti sekarang.

Kemudian, buat pertama kalinya sejak Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) ditubuhkan, kita gunakan RM5 bilion dana itu untuk membeli vaksin.

Namun perlu ingat, sumber-sumber ini bukan tanpa had dan untuk mengumpul semula wang yang telah dibelanja akan mengambil masa.

Dalam isu kerajaan berhutang untuk membantu rakyat pula, saya juga mengalu-alukan kenyataan Tengku Zafrul bahawa ia patut dilakukan dengan penuh tanggungjawab.

Hutang

Peminjaman tidak patut dilakukan dengan sewenang-wenangnya kerana anak-anak dan cucu-cucu kita yang akan menanggung hutang ini kelak.

Kesemua inisiatif ini menggambarkan Malaysia berada dalam landasan tanggungjawab kewangan yang sepatutnya.

Ketelusan kerajaan ini juga penting kerana rakyat berhak mengetahui bagaimana wang mereka dibelanjakan. Adakah ia digunakan untuk membantu kroni-kroni?

Soalan ini mungkin lebih mudah dijawab dengan laporan-laporan terperinci, terutamanya oleh Jawatankuasa-Jawatankuasa Khas Parlimen dan Jabatan Audit Negara.

Kita harus menyokong sebarang usaha menjamin ketelusan dan tanggungjawab kewangan.

Saya berharap semua kementerian dapat melaksanakan sifat tanggungjawab kewangan yang baik, demi generasi masa depan dan anak cucu kita. – UTUSAN

MOHD. SULAIMAN RAUF, Kuantan, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya