Ubah Nadma jadi institusi keselamatan sosial - Utusan Malaysia

Ubah Nadma jadi institusi keselamatan sosial

PELBAGAI bantuan kewangan telah diberi oleh kerajaan kepada mereka yang terkesan dengan bencana banjir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PELBAGAI bantuan kewangan diberi oleh kerajaan kepada mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan bencana banjir.

Bagaimanapun, bantuan kewangan berbentuk ihsan ini adalah bersifat ad hoc untuk mengurangkan beban ditanggung mereka yang terkena musibah.

Pada hakikatnya, negara tidak mempunyai institusi keselamatan sosial (IKS) yang komprehensif lagi bersepadu untuk membantu mereka yang berdepan dengan musibah bencana alam semula jadi, pandemik seperti Covid-19, penyakit kritikal atau kejutan ekonomi seperti pemberhentian pekerja pada waktu kemelesetan ekonomi.

Bentuk IKS yang ada pada masa ini masih bersifat tersendiri dan terpisah mengikut fungsi masing-masing seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan lembaga zakat negeri.

Untuk jangka panjang, perlu diwujudkan IKS khusus untuk membantu golongan yang mudah terkesan dan terjejas dengan bencana alam (banjir dan kemarau) atau kejutan ekonomi seperti pencari nafkah utama diberhentikan kerja dan hilang punca pendapatan keluarga atau ahli keluarga ditimpa penyakit kritikal yang memerlukan rawatan dengan kos tinggi.

Bantuan kepada golongan rentan (mudah dihinggapi penyakit) ini meliputi semua kategori pendapatan iaitu berpendapatan rendah (B40), sederhana (M40) dan tinggi (T20) kerana mereka ini juga pembayar cukai dan bersama-sama membangunkan ekonomi negara.

Di Amerika Syarikat, terdapat institusi yang mentadbir jaringan keselamatan sosial untuk rakyatnya iaitu United States Social Security Administration (SSA).

Jenis program di bawah SSA yang bersifat pencaruman meliputi aspek persaraan, mangsa bencana, kehilangan upaya, jaminan tambahan pendapatan dan insuran kesihatan.

Bagaimanapun, struktur SSA ini boleh diubah suai dalam konteks negara ini dengan hanya menumpukan kes musibah daripada bencana alam, pandemik, kejutan ekonomi dan penyakit kritikal.

Ia juga mempunyai peraturan dan perundangan bagi setiap jenis program jaringan keselamatan sosial bagi menentukan golongan yang layak menerima dan mengelak daripada golongan sasar melakukan sebarang penyelewengan.

Bagaimanapun, bantuan oleh IKS ke atas golongan rentan yang mudah terkesan dengan musibah bencana adalah bersifat sementara sehingga mereka dapat dipulihkan dan berdikari semula seperti sebelum bencana.

Dengan adanya IKS, tiada berlaku lagi pertindihan dan ketirisan bantuan kewangan serta pengurusan bantuan kewangan adalah lebih cekap dan menepati golongan sasaran.

Oleh itu, tidak lagi berlaku perdebatan politik untuk membantu golongan yang terkena musibah seperti pengeluaran KWSP.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) boleh dinaik taraf menjadi IKS dengan Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara sebagai sumber kewangan bagi menyediakan skim jaringan keselamatan meliputi bencana alam, pandemik penyakit, kejutan ekonomi dan penyakit kritikal.

IKS ini bukan bersifat pencaruman dan mangsa bencana perlu memohon untuk mendapat bantuan kewangan.

Rangka kerja teknologi maklumat dan komunikasi negara ke arah teknologi generasi kelima (5G) dan dengan aplikasi data raya membolehkan pembentukan pangkalan data yang lebih komprehensif bagi mempercepatkan proses pendaftaran, pengesahan dan pembayaran bantuan kewangan.

ABDUL RAHIM ANUAR, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya