Bukti kebajikan penjawat awam diutamakan - Mohamad Sabu - Utusan Malaysia

Bukti kebajikan penjawat awam diutamakan – Mohamad Sabu

MOHAMAD Sabu bersama kepemimpinan Pemuda Amanah selepas menghadiri Pemukiman Pemuda Amanah Nasional 2024 di Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pengumuman berita gembira oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada penjawat awam yang bakal menikmati kenaikan gaji 15 peratus mulai 1 Disember depan membuktikan kebajikan penjawat awam sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, biarpun hutang kerajaan sekitar RM1.5 trilion dan perlu membelanjakan RM10 bilion untuk tujuan tersebut, kerajaan tetap memberikan ‘sesuatu’ kepada penjawat awam. 

“Perdana Menteri tetap bekerja kuat untuk menarik pelabur daripada negara luar seperti China dan Jerman.  Kita yakin dengan peningkatan pelaburan dan pendapatan, ia boleh atasi perkara ini. Sudah 12 tahun kenaikan gaji penjawat awam tidak naik. 

“Selalunya Perdana Menteri umum bantuan khas, hadiah dan bonus raya tetapi dengan pengumuman hari ini memberi kegembiraan kepada penjawat awam,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Pemukiman Pemuda Amanah Nasional 2024 di Nilai di sini.

Tambah Mohamad lagi, untuk melaksanakan tujuan itu ia bukanlah memberi gambaran kerajaan mempunyai kewangan yang banyak pada ketika ini.

” Tetapi sebaliknya melihat kepada unjuran dan perkembangan khasnya para pelabur yang melihat Malaysia sebagai pusat digital dunia dan negara luar seperti China dan Amerika masih menjadikan Malaysia hab mereka untuk melabur. 

“Kewangan kita tidak banyak mana tetapi kerajaan kini sedang berusaha sedaya upaya mencari, menambah pendapatan negara dengan pelbagai ikhtiar dan cara,” katanya lagi.

Hari ini, media melaporkan Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus bermula 1 Disember 2024 sekali gus merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara. 

Anwar berkata, kenaikan gaji penjawat awam melibatkan kos mencecah RM10 bilion dan dianggap terbaik dalam sejarah.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN