Tubuh RCI siasat dalang balak haram - Utusan Malaysia

Tubuh RCI siasat dalang balak haram

PENUBUHAN Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) penting dalam menyiasat dalang sebenar menyebabkan berlakunya banjir luar biasa di Pahang.-UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEBAGAI anak jati Pahang, saya mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian banjir besar yang berlaku pada penghujung tahun lalu.

Penubuhan RCI penting kerana rakyat terutama penduduk Pahang mahukan maklumat yang tepat dan telus. Rakyat mahu siasatan terperinci melibatkan semua pihak termasuk Pejabat Perhutanan, Pejabat Tanah dan Galian dan sebagainya dibuat.

Rakyat tidak mahu melihat seolah-olah hanya Pejabat Perhutanan sahaja yang bertanggungjawab dalam hal ini dan apabila ini berlaku, segala maklumat yang diberikan dianggap betul belaka.

Maklumat daripada agensi lain seperti Pejabat Tanah dan Galian juga diperlukan dalam merungkai pihak yang bertanggungjawab dalam meneroka hutan sehingga berlakunya banjir yang dianggap terburuk itu.

Alasan lain mengapa RCI diperlukan adalah untuk mengetahui dalang  penerokaan hutan sehingga wujudnya lambakan kayu-kayan di Telemong dan sekitar Bentong. Rakyat ingin tahu, adakah penerokaan itu mendapat kebenaran serta kelulusan daripada pihak berwajib dan mematuhi peraturan alam sekitar dalam mengurus sisa hutan?

Pejabat Perhutanan dalam era teknologi ini perlulah membuktikan kebenaran melalui satelit dengan tepat kawasan yang diteroka terutama di sekitar hutan Telemong dan Bentong dari segi keluasan dan kawasan yang ditentukan sahaja. Ini bagi memastikan tiada salah laku seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan penjawat awam.

Selain itu, rakyat yang terkesan tidak mahu kerajaan menyalahkan hukum alam setiap kali berlaku bencana tanpa menyelidik punca sebenar yang dilakukan oleh tangan manusia. Jika beginilah sikap mereka, sudah pasti sampai bila-bila pun peraturan dan undang- undang yang dibuat tidak akan dipatuhi dan dihormati. Yang akhirnya terkesan daripada bencana banjir adalah rakyat marhaen sementara pihak yang mendapat untung daripada aktiviti pembalakan adalah golongan kaya-raya.

Penubuhan RCI ini juga bagi membersihkan nama Pahang yang sudah terpalit dengan kegiatan penerokaan tanah haram untuk dijadikan tanaman durian Musang King di Raub. 

Pada masa sama, diharap penubuhan ini dapat dijadikan iktibar kepada kerajaan dan rakyat agar menjaga hutan dengan amanah.

ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya