Robot belum sedia ganti manusia - Utusan Malaysia

Robot belum sedia ganti manusia

TERNYATA dunia maya telah bersedia dalam menghadapi gelombang IR 4.0 memandangkan akses kepada internet amat meluas di kebanyakan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ZAMAN Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) bermula sejak 10 tahun lalu  di negara-negara Barat seperti Jerman dalam bidang pembuatan. Kini kesannya mula dirasai oleh industri berkaitan. Teknologi baharu seperti blockchain, kepintaran buatan (AI), robotik, internet pelbagai benda (ioT) dan data raya adalah antara kerangka utama kepada komponen tersebut.

Bagi menghadapi impak tersebut, kerajaan mengambil langkah progresif dengan memperkenalkan Polisi IR 4.0 Negara bagi memandu kementerian dan agensi di bawahnya memformulasi strategi serta merangka pelan tindakan bagi mengoptimumkan sumber sedia ada untuk dikoordinasikan dalam era kemunculan teknologi baharu.

Islam tidak pernah memandang inovasi, kreativiti dan teknologi sebagai satu masalah atau malapetaka. Sebaliknya, ia adalah perkara baharu yang perlu dimanfaatkan untuk kebaikan dan kelestarian hidup. IR 4.0 adalah perubahan yang menyaksikan teknologi robotik dan mesin sudah mula mengambil alih tugas sekali gus tugasan manusia dilihat lebih mencabar terutama dalam sektor pekerjaan.

Bagaimanapun, ilmu pengetahuan dan kemahiran manusia amat diperlukan dalam menyelenggara peralatan dan perisian tersebut. Senario itu memberi isyarat bahawa tenaga manusia masih mengawal segala inovasi moden tetapi ia memerlukan ilmu dan kemahiran yang perlu digilap dan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Jika dilihat secara rambang, kursus-kursus yang ditawarkan terutama sejak penularan pandemik Covid-19  banyak berkaitan teknologi seperti  teknologi kewangan melibatkan blockchain, AI dan perisian moden yang menjadi pemangkin kepada IR 4.0.

Mengambil semangat sarjana dan cendekiawan yang pernah mengharumkan nama Islam dengan sumbangan idea dan teori mereka  dalam segenap bidang ilmu, sewajarnya kita ‘mewakafkan’ masa untuk meneroka bidang IR 4.0 yang berkaitan dengan kerjaya. Usaha sebegini penting kerana teknologi dan perisian  sememangnya bermanfaat dalam  meningkatkan produktiviti kerja.

Oleh yang demikian, pemain industri dilihat akan terus merevolusikan industri dengan penggunaan teknologi IR 4.0 sebagaimana dilihat pada ekonomi gig yang telah banyak menyediakan peluang pekerjaan di kala pandemik Covid-19 melanda.

MOHD. SHAHID MOHD. NOH, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya