Majikan boleh dipenjara angkara sijil vaksinasi palsu - Utusan Malaysia

Majikan boleh dipenjara angkara sijil vaksinasi palsu

MAJIKAN perlu memastikan sijil vaksinasi yang dikemukakan oleh pekerja mereka benar-benar tulen. – GAMBAR HIASAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEMUA tahu, masalah sijil cuti sakit (MC) palsu masih berlaku walaupun pelbagai langkah dilaksanakan bagi membanterasnya.

Gejala itu menyebabkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini membuat video pesanan khidmat masyarakat bertajuk MC Boleh Jadi Rasuah.

Belum habis gejala itu dibanteras, baru-baru ini kita dikejutkan dengan pendedahan seorang doktor berusia 51 di sebuah klinik swasta di Marang, Kuala Terengganu yang ditahan polis kerana disyaki mengeluarkan sijil vaksinasi Covid-19 palsu.

Siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu didapati berurusan dengan klinik itu (untuk tujuan vaksinasi). Daripada jumlah itu, pihak berkuasa masih menyiasat berapakah jumlah sebenar yang hanya mendapat sijil vaksinasi palsu.

Difahamkan setiap individu yang ingin mendapatkan sijil vaksinasi palsu ini perlu membayar antara RM400 hingga RM600 berbanding harga sebenar suntikan RM300 sahaja.

Kes jenayah itu yang sedang disiasat polis di bawah Kanun Keseksaan membuatkan kita bimbang kemungkinan wujud banyak lagi kegiatan penjualan sijil vaksinasi palsu di klinik-klinik lain di seluruh negara.

Oleh yang demikian, adalah penting untuk semua pihak termasuk majikan memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kegiatan penjualan sijil vaksinasi palsu tidak berterusan kerana ia akan menyukarkan negara kita membendung penularan Covid-19 dan semua jenis mutasi yang ada.

Sijil penerimaan suntikan vaksin Covid-19 hanya diberikan kepada individu yang sudah lengkap menerima dua dos suntikan.

Ia diberikan secara digital dalam telefon pintar melalui aplikasi pengesanan kontak rapat Covid-19, MySejahtera dibangunkan Kerajaan Persekutuan dan SELangkah oleh kerajaan negeri Selangor.

Pengesahan juga boleh dibuat melalui kad penerimaan suntikan vaksin yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Setiap bukti penerimaan suntikan vaksin Covid-19 ini memiliki nombor siri (melalui nombor kad pengenalan atau nombor lain-lain diberikan) yang boleh diperiksa dengan Kementerian Kesihatan.

Oleh itu, adalah penting majikan melakukan pemeriksaan rapi terhadap setiap sijil penerimaan suntikan vaksin Covid-19 dimiliki pekerja dan pihak-pihak yang berurusan dengan mereka.

Majikan tidak boleh terlepas pandang terhadap perkara ini atau menganggapnya sebagai isu remeh kerana mereka bertangungjawab sepenuhnya terhadap aspek kesihatan dan keselamatan semua kakitangan di tempat kerja.

Seksyen 15(1) dan 15(2) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 jelas memperuntukkan kewajipan kepada setiap majikan serta setiap orang yang bekerja sendiri untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya.

Kegagalan majikan untuk mematuhi mana-mana peruntukan di bawah akta berkenaan boleh menyebabkan mereka dikenakan denda sebanyak RM50,000 atau dua tahun penjara ataupun kedua-duanya sekali.

Penting untuk majikan ketahui juga, Dewan Rakyat baru-baru ini meluluskan Rang Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020 yang membolehkan kerajaan meminda AKKP 1994.

Antara yang dipinda ialah jumlah kadar denda dan hukuman. Sekiranya pindaan dikuat kuasa kelak, jumlah denda dan hukuman dikenakan kepada majikan yang gagal memastikan aspek kesihatan dan keselamatan pekerja mereka akan menjadi lebih berat.

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN