Jangan guna agama alih tumpuan - Utusan Malaysia

Jangan guna agama alih tumpuan

PEMIMPIN Pas gemar menggunakan naratif agama bagi mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu rasuah dan banjir kilat. – GAMBAR HIASAN/ ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, seorang pemimpin kanan Pas mengecam media massa kerana menyebarkan berita mengenai individu yang disyaki bersalah sedangkan kes tersebut masih belum dibicarakan di mahkamah.

Pemimpin terbabit menegaskan, Islam mewajibkan maruah manusia itu dihormati termasuk mereka yang sudah nyata melakukan kesalahan.

Kenyataan pemimpin itu dipercayai ada kaitan dengan kontroversi mengaitkan pemilikan saham oleh Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Bagi saya, kenyataan itu sekadar menggunakan naratif agama untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu dibangkitkan media massa supaya pihak berkuasa tidak mengelak daripada akauntabiliti.

Sebenarnya, media massa adalah kuasa keempat dalam sistem demokrasi di mana peranan utamanya adalah memantau kerajaan dan pihak berkuasa lain sama ada mereka melaksanakan tanggungjawab atau tidak.

Jika Azam berasa dakwaan tersebut salah, beliau sepatutnya memberi bukti kukuh untuk membuktikan tidak bersalah.

Bagi saya, tindakan pemimpin Pas itu adalah perkara lumrah kerana sejak zaman dahulu, ahli politik di Malaysia telah banyak kali menggunakan isu agama untuk mengalihkan tumpuan orang ramai daripada masalah rasuah dan pentadbiran tidak cekap.

Sebagai contoh, dalam menjelaskan faktor berlakunya banjir kilat, ada pemimpin Pas lain yang menyifatkan ia sebagai takdir Allah SWT.

Apabila rakyat mula mengibarkan bendera putih disebabkan ketidakcekapan kerajaan, ahli politik Pas menyatakan itu ujian Allah SWT dan rakyat tidak sepatutnya mengaku kalah dengan mengibarkan bendera putih.

Untuk mengelakkan daripada akauntabiliti, ahli politik mencipta isu agama bagi mengalihkan tumpuan orang ramai daripada masalah rasuah.

Sebagai ahli Parlimen, pemimpin-pemimpin Pas sepatutnya bertindak atas kepentingan awam, menyeru supaya dibanteras rasuah dan bukan melindungi pegawai SPRM.

Walaupun terdapat usaha menggunakan naratif agama untuk mengelakkan daripada akauntabiliti, rakyat tidak boleh berhenti daripada mendesak Azam supaya menarik balik surat guaman terhadap individu yang mendedahkan isu itu.

Kita menyeru kerajaan supaya menyiasat segala tuduhan terhadap Azam, melakukan transformasi dalam SPRM untuk membasmi budaya rasuah dalam pentadbiran suruhanjaya itu demi menjaga reputasinya dan negara.

Kerajaan juga perlu menilai semula Akta Pemberi Maklumat 2010 dan serta-merta mengembangkan serta memperkukuh skop perlindungannya.

Pada masa sama, kerajaan harus menubuhkan Majlis Media Malaysia yang bebas untuk mengelak kerajaan atau pihak berkuasa menjadi satu-satunya penimbang tara dalam isu melibatkan media massa di Malaysia.

Kita juga menyeru kerajaan memansuhkan undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara dan media.

Dalam situasi rasuah berleluasa ini, Malaysia amat memerlukan lebih banyak berita yang dapat mendedahkan skandal penyalahgunaan kuasa.

Media massa juga perlu memainkan peranan sebagai kuasa keempat dalam sistem demokrasi bagi memantau kerajaan dan pihak berkuasa lain.

MIAOLING NG, Aktivis media

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.