SAUDARA PENGARANG,
KEJADIAN banjir di kawasan tidak diduga serta mempunyai jumlah kepadatan penduduk tinggi seperti di Shah Alam, Selangor menimbulkan pelbagai masalah terutama keengganan mangsa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Antara alasan mereka, PPS terlalu padat dan tidak dapat menampung mangsa banjir sehingga menyebabkan ramai memilih untuk bermalam di dalam kereta dan memasang khemah di tepi jalan seperti berlaku di Temerloh, Pahang.
Sepatutnya kerajaan merancang lebih awal atau sudah mempunyai pelan sampingan terutama di kawasan yang kerap dan pernah berlaku banjir. Diharapkan kejadian banjir baru-baru ini dapat dijadikan pengajaran agar kerajaan khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih peka dalam menyediakan perancangan terbaik menghadapi musibah.
Selalunya sekolah, dewan orang ramai, kompleks belia, stadium, masjid dan surau dijadikan PPS, namun ia tidak cukup untuk menampung jumlah penduduk yang tinggi terutama di Lembah Klang. Lebih baik sekiranya bukit atau tanah lapang yang tinggi dijadikan PPS mudah alih dengan kemudahan lengkap termasuk bilik mandi, tandas dan surau. Ini bertujuan menampung penduduk tanpa perlu memindahkan mereka terlalu jauh ke PPS sedia ada disebabkan kekangan pengangkutan.
Sementara penduduk di Lembah Klang terutama di kediaman bertingkat tinggi sama ada pangsapuri atau kondominium tidak perlu berpindah kecuali jika wujud keperluan tertentu. Peranan persatuan penduduk dan badan pengurusan bersama (JMB) perlu diperluaskan dengan menyalurkan kemudahan bantuan makanan dan minuman sekiranya tempat kediaman mereka terputus hubungan disebabkan banjir.
Oleh itu, pihak-pihak berwajib hendaklah lebih peka dan sentiasa berfikir untuk jangka panjang serta mampu membuat jangkaan dengan menyediakan mekanisme serta prosedur operasi standard (SOP) yang lebih proaktif dan praktikal.
TEROPONG DO RE MI, Setapak, Kuala Lumpur