Jangan abai kesihatan mental - Utusan Malaysia

Jangan abai kesihatan mental

PANDEMIK Covid-19 menyebabkan kes kesihatan mental semakin meningkat dengan mendadak. – GAMBAR HIASAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MENURUT Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pandemik Covid-19 telah mengganggu atau menghentikan perkhidmatan kesihatan mental yang kritikal di 93 peratus negara di seluruh dunia.

Sedangkan pada masa sama, wabak itu menyebabkan kes kesihatan mental semakin meningkat dengan mendadak.

Keadaan diburukkan lagi dengan hakikat kebanyakan negara sebelum wabak melanda telah membelanjakan kurang dua peratus daripada belanjawan kesihatan untuk perkhidmatan kesihatan mental dengan alasan terpaksa bergelut untuk memenuhi keperluan lain penduduk mereka.

Tinjauan ke atas 130 negara juga menunjukkan kesan buruk Covid-19 terhadap akses perkhidmatan kesihatan mental. WHO turut menekankan keperluan mendesak untuk peningkatan dan sumbangan dalam pembiayaan bagi rawatan berkenaan.

Oleh itu, WHO mengharapkan kerjasama daripada para pemimpin dunia dan selebriti untuk sama-sama menyeru masyarakat supaya meningkatkan sumbangan bagi membiayai perkhidmatan kesihatan mental.

Dalam pada itu, peningkatan kes kesihatan mental ketika Covid-19 disebabkan pelbagai faktor termasuk kehilangan ahli keluarga, pengasingan terlalu lama di rumah, kehilangan pendapatan dan takut dihinggapi virus.

Pada masa sama, ramai orang mungkin juga menghadapi peningkatan tahap penggunaan alkohol dan dadah, insomnia serta kebimbangan.

Sementara itu, Covid-19 sendiri boleh membawa kepada komplikasi neurologi dan mental seperti kecelaruan dan strok.

Orang yang mempunyai gangguan mental dan saraf sedia ada juga lebih terdedah kepada jangkitan SARS-CoV-2. Mereka mungkin menghadapi risiko lebih tinggi untuk akibat yang teruk dan kematian.

Seperti disebut Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus, kesihatan mental yang baik adalah asas mutlak kepada kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan.

Oleh itu, semua pemimpin dunia mesti bergerak pantas dan tegas untuk melabur lebih banyak wang dalam perkhidmatan kesihatan mental.

MEOR MUHAMMAD KHAMAL MEOR MUHAMMAD AMIN, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya