Bukan semua bencana wajar keluar simpanan KWSP - Utusan Malaysia

Bukan semua bencana wajar keluar simpanan KWSP

TABIAT menyimpan wang untuk kegunaan waktu kecemasan perlu disemai sejak kecil lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 2 Januari lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menasihatkan semua pihak termasuk mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan bencana alam seperti banjir agar tidak melihat simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai satu-satunya penyelesaian kepada setiap cabaran.

Beliau berkata, walaupun kerajaan pernah membenarkan pengeluaran KWSP melalui tiga program pengeluaran khas iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra sebelum ini, ia hanya langkah jangka pendek serta bersifat sementara akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Katanya, kerajaan tidak boleh membenarkan pengeluaran KWSP untuk semua bencana kerana itu akan menyebabkan sampai bila-bila pun langkah mewujudkan simpanan hari tua ini tidak tercapai matlamatnya.

Saya bersetuju dengan pandangan beliau kerana tujuan utama penubuhan KWSP pada 1951 adalah untuk menjadi organisasi keselamatan sosial terutama dalam menyediakan manfaat persaraan kepada pekerja sektor swasta dan berpencen.

Wang simpanan KWSP adalah penting untuk kegunaan pekerja selepas mereka bersara. Kita tidak tahu selama mana kita akan hidup selepas bersara nanti.

Adalah penting untuk kita ketahui dengan kemajuan dunia sains dan teknologi perubatan, umur manusia makin lama makin panjang. Pemanjangan had usia manusia ini menuntut semua pihak untuk lebih bersiap sedia bagi menghadapi segala kemungkinan luar jangka terutama dari aspek kewangan.

Apabila usia meningkat, lebih banyak wang diperlukan dalam kehidupan kita. Ini kerana peningkatan usia akan menyebabkan tahap kesihatan kita menurun.

Penurunan tahap kesihatan akan mengundang kepada pelbagai jenis penyakit. Bagi mengubati penyakit-penyakit ini, kita memerlukan wang bagi menjalani proses rawatan.

Usia lanjut juga akan menyukarkan proses mencari kerja kerana tenaga pun semakin berkurangan. Ramai majikan lebih gemar mendapatkan tenaga kerja dalam kalangan orang muda yang lebih sihat dan bertenaga.

Oleh yang demikian, adalah penting memiliki sumber kewangan yang benar-benar kukuh bagi menampung kehidupan kita selepas bersara. Selain menyimpan wang dalam KWSP untuk waktu persaraan, orang ramai juga perlu menyimpan wang bagi kegunaan semasa kecemasan.

Setiap orang perlu menyimpan sedikit wang bagi digunakan ketika ia diperlukan tanpa perlu menyentuh simpanan KWSP. Orang ramai perlu belajar pengurusan aspek kewangan harian mereka.

Amalan berjimat cermat perlu diamalkan dalam kehidupan seharian bagi memastikan terdapat lebihan wang untuk disimpan dan digunakan ketika kecemasan.

Terpulang pada diri setiap individu, sebanyak mana wang yang mereka ingin simpan untuk kegunaan waktu kecemasan. Walaupun wang disimpan adalah sedikit, namun sekiranya ia dilakukan setiap masa, jumlahnya akan menjadi banyak.

Bak kata pepatah, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Tabiat menyimpan wang untuk kegunaan waktu kecemasan perlu disemai sejak kecil.

Kanak-kanak harus dilatih dari awal untuk menabung, mengamalkan sikap berjimat cermat serta tidak membazir supaya mereka tidak menjadi kelam-kabut dari sudut pengurusan kewangan apabila dewasa kelak.

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya