Teknologi tani jadi penyelamat - Utusan Malaysia

Teknologi tani jadi penyelamat

DEDAK ayam dan makanan haiwan lain perlu dihasilkan sendiri oleh syarikat tempatan bagi mengurangkan kos pengimportan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KENAIKAN harga barangan keperluan sejak akhir-akhir ini memberi kesan yang besar kepada kehidupan rakyat.

Ini ditambah keadaan pandemik yang mempengaruhi pendapatan per kapita keluarga berikutan ada yang hilang pekerjaan atau tidak boleh meneruskan perniagaan.

Isu kenaikan harga barang secara langsung menyumbang kepada kos sara hidup lebih tinggi. Secara teorinya, semakin tinggi kos sara hidup, semakin kurang kuasa beli pengguna.

Satu penyelesaian bersifat menyeluruh perlu dilaksanakan dengan mempertimbangkan strategi jangka panjang untuk penternak, pemborong dan pengguna dalam usaha memelihara ekonomi segenap lapisan masyarakat.

Di sini dicadangkan strategi bersifat jangka pendek bagi meredakan masalah itu termasuk membenarkan pengimportan produk dan komoditi makanan untuk memastikan harga kekal di paras rendah.

Selain itu, langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk memantau dan mengawal harga makanan memang strategi yang baik.

Bagaimanapun, ia hanya akan berjaya sekiranya wujud pasaran kompetitif, sistem maklumat pasaran yang cekap dan kesedaran dalam kalangan pengguna untuk membuat aduan.

Dalam pada itu, untuk jangka panjang, kerajaan mesti membangunkan industri makanan yang dinamik, sentiasa berkembang dan pada masa sama berkekalan.

Masalah struktur dan sistem yang membatasi kemajuan industri makanan dalam dekad-dekad lepas perlu diperbaiki.

Antaranya, kerajaan perlu memberi sokongan kepada syarikat-syarikat yang terlibat secara langsung dalam industri makanan dan pertanian.

Perlu diambil kira kos-kos yang perlu ditanggung syarikat seperti logistik, penyelidikan dan pembangunan (R&D) manakala bagi sektor pertanian melibatkan kos baja.

Sekiranya negara kita berkebolehan untuk menghasilkan dedak ayam atau makanan untuk haiwan ternakan, ini semestinya dapat memastikan harga ayam, telur dan komoditi lain berada di peringkat terkawal.

Pendorong utama kepada pertumbuhan industri makanan dan pertanian adalah teknologi. Teknologi boleh membantu mengurangkan kos, meningkatkan produktiviti dan mewujudkan nilai tambah tinggi terhadap produk.

Lebih banyak R&D perlu dibuat bagi meningkatkan teknologi dan pada masa sama sokongan institusi terhadap syarikat terlibat adalah penting selain disediakan pelbagai insentif dan infrastruktur.

Semua ini tercatat dalam polisi pertanian negara, tetapi memerlukan penekanan yang lebih serius dan pendekatan baharu dari segi pelaksanaan.

Kerajaan semestinya bertanggungjawab membantu rakyat yang berhadapan kesulitan hidup akibat kenaikan harga barang dan perkhidmatan secara melampau dan berterusan.

Ia boleh dibuat melalui mekanisme pengawalan harga dan penguatkuasaan garis panduan dan undang-undang yang digubal untuk tujuan tersebut.

Garis panduan dan undang-undang tanpa penguatkuasaan serta pelaksanaan yang telus adalah sia-sia.

Akhir kata, rakyat hanya menuntut tiga perkara iaitu penetapan harga siling, kawal selia dan penguatkuasaan berterusan serta dihapuskan kartel yang memonopoli pasaran.

AFIQAH MOHAMMAD, Ketua Biro Kepenggunaan, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.