Silap-silap Pas yang terkubur nanti - Utusan Malaysia

Silap-silap Pas yang terkubur nanti

TIBA masa Pas menyatakan pendirian sama ada memilih UMNO atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menjalin kerjasama politik memandangkan parti itu dilihat tidak berpendirian tetap.-UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERSENGKETAAN antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah diketahui umum. Malah, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sudah berulang kali menyatakan pendirian bahawa parti itu tidak sesekali menerima Bersatu yang dianggap pengkhianat.

Pada masa sama, Ahmad Zahid juga tidak menafikan parti keramat Melayu itu terbuka menerima kerjasama dengan parti lain termasuk Pas yang pernah menikam dari belakang melalui pemerkasaan semula Muafakat Nasional (MN) yang ketika ini sudah terkubur, selagi Pas sanggup meninggalkan Bersatu.

Baru-baru ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah pula meminta Pas menghormati pendirian UMNO yang kekal menolak Bersatu untuk menyertai MN.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang meminta UMNO belajar menerima Bersatu dan begitu juga sebaliknya bagi memastikan muafakat ummah berjaya.

Sementara Ahmad Fadhli pula berkata, UMNO tidak sepatutnya menggunakan alasan Bersatu yang pernah berada dalam Pakatan Harapan (PH) untuk menghalang menyertai MN.

Bagi saya, pada saat ini sepatutnya Pas yang perlu membuat keputusan sama ada untuk bersama UMNO atau Bersatu. Ini kerana parti itu dilihat seperti hilang arah tujuan apabila masih mengharapkan kerjasama melalui MN, namun tidak boleh melepaskan Bersatu.

Apa yang Pas mahukan sebenarnya? Nampak sangat Pas tiada pendirian dan hanya memikirkan kelangsungan serta kepentingan parti. Pas dilihat sangat lemah dalam membuat keputusan penting untuk parti.

Pas tidak boleh bermain tarik tali sebegini kerana ia menjejaskan perjalanan dan kestabilan sesebuah parti politik. Pas juga perlu memuktamdkan kerjasama kerana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bakal diadakan tidak lama lagi.

Pada masa sama, rakyat juga mahu mendengar pendirian Pas bagi memudahkan kami membuat perhitungan semasa PRU nanti.

Tindakan Pas yang masih berdolak-dalik hanya akan menyusahkan parti sendiri kerana berkemungkinan hilang sokongan rakyat. Ini kerana dalam kalangan pemimpin Pas juga dilihat berpecah memandangkan ada yang mengatakan sokongan kepada UMNO dan sebahagiannya memilih Bersatu. Jika berterusan begini, silap-silap Pas yang terkubur.

AHMAD, Terengganu

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya