Rayuan OKU kepada tuan besar - Utusan Malaysia

Rayuan OKU kepada tuan besar

KETIDAKPADANAN pekerjaan yang ditawarkan kepada belia OKU dengan kelulusan tidak boleh dibiar berlaku. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PANDEMIK Covid-19 memberikan pelbagai kesan secara langsung dan tidak langsung kepada pelbagai golongan termasuk 600,000 orang kurang upaya (OKU) di Malaysia.

Dalam kalangan OKU terbabit terdapat golongan belia yang boleh memainkan peranan signifikan sebagai pemimpin pada waktu sekarang dan masa hadapan.

Justeru, kelompok belia OKU harus diberikan pendedahan, ilmu pengetahuan, kemahiran dan kepimpinan berorganisasi supaya dapat mempersiapkan diri untuk mengemudi pembangunan masyarakat dan negara pada masa depan.

Berdasarkan kajian Brennan, Barnett dan Lesmeister (2007), penglibatan belia bagi membangunkan masyarakat adalah kunci pemangkin kendiri individu itu menjadi pemimpin berwawasan dan efektif kerana didedahkan dengan kemahiran penyelesaian masalah dan membuat keputusan.

Oleh itu, belia OKU wajar dilibatkan dalam aktiviti berpersatuan untuk membolehkan kemahiran-kemahiran ini dikuasai dan mendapat bimbingan terus daripada pembimbing belia yang berkepakaran dalam soal kemasyarakatan.

Selaras dengan tema Hari OKU Sedunia 2021 iaitu Kepimpinan dan Penyertaan OKU Menuju Endemik Covid-19, penekanan kepada aspek kepimpinan dan libat urus OKU dalam aspek pembuatan dasar adalah sangat penting kepada pembangunan golongan ini.

Sebagai pemegang taruh utama dan pihak yang mengalami kesan langsung daripada segala dasar kerajaan dan tindakan pihak swasta, suara dan penglibatan golongan OKU haruslah diambil berat.

Penubuhan Majlis Belia OKU Malaysia (MBOKU) pada 19 Julai lalu merupakan suatu langkah penting ke arah usaha untuk terus memperkasakan belia OKU.

Pendedahan dalam soal kepimpinan dan pengurusan organisasi serta perencanaan program berbanding pendekatan bersifat simpati dan kebajikan kepada OKU adalah teras yang diusahakan oleh MBOKU.

Menyedari hakikat ini, isu mengenai OKU hendaklah mengalami anjakan paradigma daripada pendekatan berasaskan kebajikan kepada pendekatan berasaskan hak.

Ketidakupayaan bukan semata-mata disebabkan kefungsian individu yang terbatas, tetapi merangkumi kekurangan kemudahan disediakan yang menjadi penghalang penyertaan OKU dalam masyarakat.

Kerancakan program dari sudut pandang kebajikan semata-mata kepada OKU dilihat lebih memberikan kesan buruk kepada golongan itu yang harus diperkasakan bukan sekadar disogok elaun sara diri atau bantuan bulanan semata-mata.

Realitinya, dekad ini memaparkan kesukaran kelompok belia OKU untuk mendapatkan jaminan pekerjaan, akses pendidikan serta latihan yang bersesuaian dengan kemahiran dan kemampuan.

Ketidakpadanan pekerjaan yang ditawarkan dengan kelulusan belia OKU turut berlaku bahkan isu pengangguran dalam kalangan golongan ini seharusnya ditangani sebaik mungkin.

Selain itu, penempatan belia OKU yang berkelayakan dalam sektor kerajaan mahupun swasta haruslah dilihat berasaskan kemahiran yang dimiliki bukan dinilai berdasarkan kekurangan keupayaan fizikal.

Justeru, pemerkasaan OKU bukan sekadar dilihat dari aspek kebajikan, kita harus melihat aspek pembangunan OKU itu bermula dari intervensi awal, transisi persekolahan dan transisi ke pendidikan tinggi.

Seterusnya, kita perlu mewujudkan sokongan pekerjaan serta kemahiran hidup berdikari yang bersesuaian dengan tiap segmen ketidakupayaan. Semoga tuan-tuan besar di atas dapat mendengar.

MOHD. FAIZ SHUHAIMI, Presiden MBOKU.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya