Rakyat harapkan pak menteri - Utusan Malaysia

Rakyat harapkan pak menteri

PENGGUNA boleh menerima hakikat jika kenaikan harga dibuat secara munasabah. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KENAIKAN harga barang tidak terkawal ketika ini memerlukan satu mekanisme atau pelan tindakan jangka masa panjang agar situasi ini tidak berulang dan membebankan rakyat.

Antara yang cukup terbeban ialah golongan berpendapatan rendah (B40) yang sebelum ini sudah terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sudah pasti segala kepakaran dan idea daripada profesor dan para ilmuwan yang ada di kementerian dan universiti dapat digembleng bagi mencari solusi.

Saya sendiri kini merasai kesan kenaikan ini apabila membeli bahan mentah di kedai runcit yang sama tapi pada harga lebih tinggi berbanding dahulu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sepatutnya sudah boleh menjangka berlaku kenaikan harga barangan apabila banyak sektor ekonomi dibuka dan membuat persediaan awal.

Di pihak pengguna, kita memahami dan boleh menerima kenaikan harga munasabah setelah mengambil kira faktor gangguan rantaian bekalan sehingga permintaan lebih tinggi berbanding penawaran tetapi bukan kenaikan melampau sehingga melebihi 50 hingga 70 peratus.

Kenyataan KPDNHEP tidak banyak membantu malah menimbulkan kekeliruan di pihak pengguna. Paling tidak, skrip ‘bangau oh bangau’ masih berulang.

Seperti biasa, penguatkuasaan melalui tindakan undang-undang perlu dilaksanakan lebih proaktif dan serius untuk mencari dalang sama ada berpunca daripada pengeluar, orang tengah atau peniaga sendiri yang menaikkan harga sesuka hati.

Jika sebelum ini kerajaan boleh menurunkan harga kit ujian pantas (RTK) antigen sewaktu mula dipasarkan, mengapa perkara sama tidak boleh dilakukan pada produk lain?

Siapa lagi yang kita dapat harapkan kalau bukan KPDNHEP dan pak menteri yang diberi tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat bawahan?

Kami berharap isu-isu kepentingan rakyat seumpama ini ditangani dengan bijaksana dan kementerian perlu lebih peka agar pengguna tidak terbeban.

RAKYAT TERBEBAN, Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.