Penyajak kita disisih? - Utusan Malaysia

Penyajak kita disisih?

PEMBACA dan pendengar sajak perlu berfikir dan menyelidik untuk memahami maksud dan membuat kesimpulan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAJAK adalah satu ekspresi minda secara tersurat dan tersirat. Mesej yang disampaikan ada kalanya jelas, kabur atau bersimpul.

Itulah keunikannya yang memerlukan pembaca berfikir dan menyelidik untuk memahami maksud dan membuat kesimpulan.

Sajak sebagai sebuah puisi moden mempunyai kelainannya juga. Sajak tidak ada gender. Ia bebas untuk mengenakan sebarang ‘pakaian’, menyimpan ‘misai dan janggut’ serta ‘berpurdah’.

Secara ringkasnya, sajak boleh jadi apa-apa sahaja. Sajak juga agak terpinggir kerana tergolong dalam sastera yang diberikan kasta rendah oleh masyarakat berbanding sains, teknologi dan bidang-bidang profesional lain.

Oleh itu, masyarakat memandang sepi kepada penyajak. “Memang pantang datuk nenek aku bermenantukan seorang penyajak!” kata cucu Nyonya Mansoor dalam filem terbaharu, Ibu Mertua-ku 2, jika ada sambungannya nanti.

Begitu juga ruang yang diberikan dalam sesetengah akhbar dan majalah untuk penulisan sajak adalah sangat kecil dan sempit berbanding penulisan lain.

Umpama dalam sebuah rumah agam, terdapat sebuah meja kecil di penjuru ruang tamu tempat longgokan majalah dan akhbar lama.

Itulah ruang yang diperuntukkan untuk penulisan sajak dalam akhbar dan majalah tertentu.

Satu baris ayat yang ditulis beberapa patah perkataan pun kadangkala terpaksa ditolak ke baris berikutnya kerana kesempitan ruang. Ini membuatkan pembaca menjadi keliru dengan apa yang ingin disampaikan oleh penyajak.

Oleh kerana ruang untuk disiarkan sajak agak terbatas, akhbar dan majalah mengehadkan bilangan patah perkataan atau bilangan baris untuk sesebuah sajak.

Maka mesej yang ingin disampaikan oleh para penyajak agak terbatas juga. Berbeza dengan ruang diperuntukkan untuk gosip dan kisah artis yang adakala sehingga dua halaman atau lebih.

Kisah artis yang sama, bercinta, bernikah, beranak, bercerai, bernikah lain, beranak lagi, bercerai lagi, bernikah lain dan seterusnya sehingga tujuh keturunan diberikan ruang yang luas dan berwarna-warni.

Sajak sering dipinggirkan dan dipandang rendah, malahan dihina oleh sebahagian besar masyarakat.

Ironinya, ia diangkat martabat dan diberikan penarafan yang setara dengan bidang lain oleh sebahagian besar masyarakat luar negara.

Di luar negara, sajak mendapat tempat istimewa di hati masyarakat. Penyajak di luar negara sangat dihormati dan disanjungi.

Jadi, adakah penyajak kita yang disisihkan dan dipinggirkan di negara sendiri perlu melarikan diri atau berhijrah ke luar negara seperti Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat untuk terkenal, disanjungi dan diterima masyarakat?

Sekiranya sajak itu dianggap terlalu puitis, kompleks dan sukar difahami maksud dan mesej yang cuba disampaikan, penyajak perlu mempermudahkan gaya penulisan dan cara penyampaiannya agar masyarakat umum dapat menerima dan memahaminya, tidak hanya kepada golongan sastera dan mereka yang meminati serta memahami sajak.

Tujuan utama adalah untuk menyampaikan mesej. Diharap penyajak kita tidak merajuk membawa diri dan sajaknya ke luar negara semata-mata untuk mendapat pengiktirafan masyarakat.

Moga penyajak dapat diangkat martabatnya setanding peguam dan majistret agar mereka dipandang mulia oleh masyarakat dan mudah diterima sebagai menantu oleh bakal ibu mentua yang berperwatakan seperti Nyonya Mansoor.

N. NASIR, Bangi, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya