Jangan malu cakap Melayu - Utusan Malaysia

Jangan malu cakap Melayu

AKTIVITI di media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan pelbagai permainan video menyebabkan bahasa Melayu pelajar terus terpinggir. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENGUASAAN bahasa Melayu terutama dalam kalangan pelajar sekarang dilihat sangat lemah memandangkan mereka diajar untuk mengagungkan bahasa Inggeris yang sepatutnya menjadi bahasa kedua di negara ini.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim sudah banyak kali bersuara mengenai perkara ini.

Sebagai seorang yang sentiasa mengangkat martabat bahasa Melayu, saya yakin beliau kecewa dengan sikap rakyat yang tergila-gila bertutur dalam bahasa Inggeris.

Jika dilihat, anak-anak muda seawal setahun lebih tidak diajar bercakap menggunakan bahasa ibunda sebaliknya ibu bapa memilih bahasa Inggeris dengan alasan bahasa itu lebih mudah untuk ditutur dan difahami.

Ibu bapa juga seakan-akan malu jika anak mereka bertutur dalam bahasa Melayu. Mereka seolah-olah mahu menunjukkan kehebatan anak bercakap bahasa asing setiap kali berjumpa dengan ahli keluarga atau rakan-rakan.

Malah, kanak-kanak ini tidak didedahkan dengan program televisyen tempatan sebaliknya lebih memilih program luar negara agar dapat menguasai bahasa Inggeris.

Begitu juga halnya dengan bahan bacaan apabila sukar melihat ibu bapa membeli buku dalam bahasa Melayu.

Benar, menguasai bahasa Inggeris itu penting tetapi jangan sampai anak-anak ini tidak mampu bertutur dan tidak memahami maksud perkataan Melayu dengan baik. Ia satu kerugian buat negara dan bukan pengukur kejayaan seseorang.

Kita patut jadikan Indonesia, Jerman, China, Jepun atau Korea Selatan sebagai contoh yang mana rakyatnya bangga bertutur bahasa ibunda.

Indonesia sama seperti Malaysia iaitu rakyatnya terdiri daripada pelbagai latar belakang, agama dan kaum tetapi apabila bertutur, mereka hanya menggunakan bahasa Indonesia. Mengapa Malaysia tidak boleh menjadi sedemikian?

Tidak hairanlah perkara ini terjadi kerana ahli politik negara juga memilih untuk berbahasa Inggeris dalam program-program yang dihadiri.

Bahkan, jika dilihat beberapa dokumen seperti perjanjian jual beli rumah dan sebagainya menggunakan bahasa Inggeris. Mengapa perkara ini harus terjadi?

Satu lagi perkara menyedihkan dan tidak harus terjadi apabila bahasa Inggeris mengambil alih bahasa pertuturan harian termasuk dalam urusan rasmi pejabat dan temu duga. Inilah juga menjadi punca bahasa Melayu semakin terbatas selain ‘direndahkan’ tarafnya.

Pengaruh pempengaruh media sosial juga tidak lari daripada mempromosi dan mengangkat bahasa Inggeris.

Contohnya, seorang usahawan wanita berjaya yang kerap berkongsi video aktiviti harian menggunakan bahasa Inggeris, bahkan beliau sendiri mengaku kekok berbahasa Melayu.

Bagi saya, program Try to Speak Bahasa Melayu Challenge yang dibuat usahawan itu beberapa tahun lalu tidak sensitif dan menjatuhkan martabat bahasa utama negara. Inikah yang diidolakan oleh rakyat Malaysia?

Bukan itu sahaja, ibu bapa juga lebih gemar bertutur bahasa Inggeris sama ada di rumah atau di tempat awam.

Mahu memesan makanan atau bertanya sesuatu kepada jurujual juga menggunakan bahasa kedua, sedangkan boleh sahaja menggunakan bahasa Melayu. Tidakkah mereka menyedari setiap tingkah laku itu akan ditiru oleh anak?

Oleh itu, sudah tiba masanya kita kembali mengangkat bahasa ibunda melalui pemerkasaan bahasa di sekolah dan dalam kehidupan harian.

Wujudkanlah ruang bergaul dengan rakan atau ahli keluarga menggunakan bahasa Melayu agar ia boleh dipelajari secara tidak formal.

Mulakan bertutur bahasa ibunda di rumah agar anak-anak mampu menguasai kedua-dua bahasa dengan baik. Ia sekali gus bagus untuk perkembangan minda anak-anak.

NAZ KHALID, Bagan Serai, Perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya