Jangan ambil risiko, ikut saranan KKM - Utusan Malaysia

Jangan ambil risiko, ikut saranan KKM

KEALPAAN mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika penularan Covid-19 boleh menjadi punca kerajaan menarik semula kelonggaran yang diberikan. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

WARGA emas dan golongan komorbiditi perlu mengikut saranan serta nasihat Kementerian Kesihatan untuk menangguhkan pelan ke luar negara serta mengelak daripada mengunjungi tempat yang sesak berikutan penularan varian virus Covid-19, Omicron.

Seelok-eloknya rakyat perlu berwaspada terhadap varian baharu ini. Kita masih belum selamat sepenuhnya daripada virus Covid-19. Jangan mengambil sebarang risiko. Rakyat Malaysia seakan telah lupa tentang jumlah kes positif dan kematian yang direkodkan beberapa bulan yang lepas.

Ini jelas apabila masih terdapat segelintir masyarakat yang berhujah bahawa virus Covid-19 adalah selsema biasa dan ada juga yang mendakwa penggunaan pelitup muka, penjarakkan sosial dan penggunaan cecair sanitasi tangan adalah sesuatu yang membebankan. Malah ada pihak yang memperli dan mempersendakan individu-individu yang masih mengamalkan langkah berjaga-jaga serta menganggap mereka seperti tinggal di dalam gua.

Saya bersetuju yang penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi mungkin tidak mampan lagi bagi ekonomi negara. Kerajaan telah putuskan untuk membuka sektor ekonomi dan menarik balik larangan perjalanan antara negeri demi kelestarian ekonomi.

Namun begitu, perlu ingat yang segala kejayaan yang tercapai setakat ini boleh dimansuhkan sebegitu sahaja jika sikap cuai tersebut diteruskan. Kita tidak boleh lalai terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Kita perlu belajar daripada kesilapan terdahulu. Jangan alpa dalam perang menentang Covid-19. Sikap dan mentaliti seseorang itu adalah penting dalam usaha memerangi wabak tersebut.

Tahun 2021 semakin hampir ke penghujungnya. Mungkin, ini adalah masa yang terbaik untuk melakukan muhasabah diri. Ingatlah kepada kesusahan dan kehilangan yang telah berlaku.
Janganlah kita mengulangi kesilapan lampau di tahun baharu.

YEAP MING LIONG, Subang Jaya, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya