Haiwan boleh jadi ‘pembunuh’ - Utusan Malaysia

Haiwan boleh jadi ‘pembunuh’

BAKTERIA yang tidak kelihatan pada pandangan mata kasar boleh dibawa oleh haiwan seperti kucing ketika banjir. - GAMBAR HIASAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TIDAK dinafikan seluruh negara sedang menghadapi fenomena cuaca tidak menentu serta kedatangan musim tengkujuh yang membawa bersama hujan pada kadar luar biasa hingga boleh berlaku banjir kilat.

Banjir kilat melanda beberapa negeri sejak minggu lalu termasuk Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Perubahan iklim dan peningkatan suhu di seluruh dunia mula memberi kesan kepada keadaan cuaca di negara kita.

Kawasan-kawasan yang tidak dijangka menghadapi banjir kilat mula mengalami masalah berkenaan.

Penting untuk diketahui, selain membawa kemusnahan harta benda, banjir kilat boleh menyebabkan masalah kesihatan kepada mangsa sekiranya tiada langkah pencegahan sewajarnya diambil pada peringkat awal.

Air yang dibawa oleh banjir kilat mengandungi pelbagai jenis kotoran serta bakteria yang tidak kelihatan pada pandangan mata kasar.

Ia mungkin datang daripada manusia sendiri atau haiwan seperti kucing, anjing, ayam, lembu, kerbau, kambing dan lain-lain.

Segala kotoran dan bakteria terbabit mungkin datang dari tandas, tangki septik dan sampah sarap yang ditenggelami air.

Pelbagai jenis penyakit yang boleh dikaitkan melalui bawaan air adalah seperti keracunan makanan atau minuman, taun, demam kepialu, hepatitis A dan lain-lain.

Kebanyakan kotoran serta bakteria yang dibawa melalui air banjir akan menyerang sistem penghadaman serta imunisasi mangsa yang boleh menyebabkan demam panas, sakit perut, muntah dan cirit-birit.

Oleh itu, penting bagi semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi suasana banjir kilat yang telah pun melanda beberapa negeri sekarang serta yang dijangka berlaku sepanjang musim tengkujuh ini.

Sebarang jenis penyakit berjangkit perlu dibendung dari peringkat awal supaya ia tidak menjadi begitu serius sehingga boleh menjejaskan fokus yang sedang diberikan ketika ini bagi membendung penularan virus Covid-19.

Mangsa perlu memastikan diri mereka tidak terdedah dengan air banjir sepanjang masa. Mereka juga perlu memastikan anak-anak tidak bermain air.

Kementerian Kesihatan perlu mengeluarkan satu garis panduan atau arahan lebih jelas kepada penduduk di kawasan berisiko tinggi menghadapi banjir mengenai langkah-langkah bagi menjaga kesihatan dan keselamatan diri.

Bantuan makanan dan air bersih serta ubat-ubatan perlu disalurkan segera kepada semua mangsa banjir.

Mangsa yang menghadapi masalah kesihatan perlu segera dibawa ke klinik atau hospital berdekatan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Dengan keadaan cuaca di seluruh dunia yang tidak menentu pada masa kini, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk membina lebih banyak tempat pendaratan helikopter terutama di kawasan berpotensi tinggi terputus hubungan ketika dilanda banjir bagi memudahkan proses penyaluran barangan makanan atau memindahkan penduduk.

Bot-bot penyelamat juga hendaklah disediakan dengan lebih banyak dan ditempatkan di kawasan yang mudah terlibat banjir bagi menyenangkan sebarang operasi menyelamat dilakukan.

Amaran awal perlu dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai hujan lebat, ribut petir dan tanda-tanda lain yang boleh menyebabkan banjir bagi memudahkan penduduk melakukan persiapan awal.

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR MALLOW, Nilai, Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya