SAUDARA PENGARANG,
UMUM mengetahui, Pilihan Raya Kecil (PRN) Melaka akan diadakan pada 20 November ini. Walaupun masih ramai yang ragu-ragu ekoran Covid-19, namun ia (PRN) perlu diadakan memandangkan politik di negeri tersebut amat tidak stabil.
Jika dilambatkan, dikhuatiri akan menjejaskan pentadbiran kerajaan Melaka yang terkenal dengan gelaran negeri Hang Tuah. Pun begitu, PRN ini akan menjadi pentas penting kepada UMNO yang mahu berjuang secara solo tanpa kerjasama Pas mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan alasan dikhianati berulang kali.
Mampukah parti keramat Melayu itu mengulangi kejayaan sedangkan Timbalan Presiden UMNO yang dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini pernah berkata, PRN Sabah menjadi bukti kesepakatan antara tiga gabungan iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menjadi kunci kejayaan?
Ini bermakna UMNO hanya akan kukuh jika bergabung dengan dua lagi parti Melayu seperti sebelum ini. Sudahkah mereka membuat penilaian sebaiknya memandangkan sentimen yang pernah dimainkan oleh Pakatan Harapan (PH) berhubung isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa masih lagi menjadi duri dalam hati rakyat?
Mereka rasa dikhianti oleh sebuah parti yang berpuluh tahun lamanya mentadbir negara. Lihat sahaja bagaimana UMNO tumbang dengan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Ia patut menjadi pengajaran berguna dengan tidak mengulangi kesilapan lama.
Sayangnya, masih lagi wujud dalam kepimpinan UMNO yang membawa ideologi politik lapuk dan ketinggalan zaman sehingga menyebabkan rakyat menjadi jelik. Dunia sudah berubah, perubahan perlu dilakukan dengan meremajakan parti. Tidak kisahlah jika mahu mengekalkan pemimpin lama yang bersih tetapi perlu memiliki pemikiran selari dengan perkembangan semasa.
Bukan itu sahaja, ramai golongan muda masih lagi meluahkan rasa tidak senang dengan UMNO secara terang-terangan di platform media sosial. Barisan pemimpin UMNO perlu sedar, Melaka adalah sebuah negeri yang lain daripada yang lain dan untuk meyakinkan pengundi amat sukar terutama kaum Cina. Satu langkah drastik dan perubahan secara total perlu dilakukan untuk memenangi hati rakyat.
Ego dan bersikap sombong hanya akan memakan diri. Fikirlah yang terbaik buat parti. Ini kerana masih lagi ramai yang sayangkan UMNO, cumanya parti itu perlu berubah untuk yakinkan dan memenangi semula hati rakyat yang rasa tersakiti.
FITRI SALLEH, Kuala Lumpur