Menang sorak jika PRU-15 ekspres - Utusan Malaysia

Menang sorak jika PRU-15 ekspres

PILIHAN Raya Umum Ke-15 tidak perlu diadakan secara tergesa-gesa kerana ini adalah waktu yang penting untuk Perdana Menteri tunaikan janji kepada rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ADA pihak berpandangan perlu diadakan segera Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) memandangkan feel good factor dan mood kepada Barisan Nasional (BN) kini pada tahap terbaik.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sendiri sudah menyatakan hasrat jentera parti kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan disambut oleh beberapa pemimpin tertinggi BN.

Cadangannya, PRU-15 kena diadakan segera kerana sokongan rakyat sudah beralih kepada BN.

Sejauh mana kemenangan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mencerminkan sikap pengundi di seluruh negara dalam PRU-15?

Tidak dapat dinafikan gelombang biru BN telah mencetuskan tsunami Melayu beralih kepada BN di PRN Melaka.

Namun, hendaklah kita teliti dalam-dalam, pengundi Melayu di Melaka adalah majoriti pengundi luar bandar yang memang secara tradisi pun pengundi BN.

Tetapi untuk mengharapkan semua pengundi tradisi/luar bandar kita mengundi BN tidak cukup untuk memberikannya majoriti bagi membentuk Kerajaan Persekutuan kalaupun MCA dan MIC bagaikan sudah kebah daripada demam panas yang panjang.

Dijangka 80 hingga 90 kerusi Parlimen boleh dimenangi BN sama ada dengan Muafakat Nasional (MN) atau tanpa MN.

Ini bukan bacaan politik yang mendabik dada. Terbukti BN lebih efektif tanpa diganggu-gugat rakan koalisi yang tidak sependapat dalam mengurus agihan kerusi.

Tetapi kerusi tradisi ini tidak menjanjikan BN untuk membentuk majoriti mudah bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, kejayaan BN Melaka tidak semestinya cerminan kepada kejayaan BN di peringkat Pusat. Apakah sentimen di Melaka terpakai kepada Perdana Menteri dan menteri-menteri dari BN?

Barang diingat, Perdana Menteri belum pun lagi melepasi 100 hari pentadbiran. Sudahkah kita teliti bagaimana penerimaan rakyat secara keseluruhan?

Menteri BN di peringkat Persekutuan baru sahaja hendak menghidupkan enjin selepas pembentangan Bajet 2022.

Tidak sempat hendak turun ke rakyat lagi, alih-alih sudah diadakan PRU-15, mahukah?

Jangan kita mudah membuat perbandingan sokongan di Melaka kepada sokongan di peringkat Kerajaan Persekutuan kerana isu di peringkat nasional lebih kompleks daripada isu di negeri.

Sebaiknya biarlah perancangan Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri dirasai oleh setiap rakyat di seluruh negara.

Segala perancangan Perdana Menteri dalam Bajet 2022 akan dilancarkan dalam suku pertama dan suku kedua tahun depan.

Ini adalah waktu yang penting untuk Perdana Menteri dari BN tunaikan janji kepada rakyat.

Pelaksanaan perlukan masa. Sekurang-kurangnya memerlukan enam bulan bagi melihat keberkesanan pelaksanaan jika tidak pun 12 bulan.

Berilah sokongan kepada Ismail Sabri sebagaimana beliau membawa imej yang sangat baik di mata rakyat kepada BN.

Tiba masa BN membalas budi Perdana Menteri setelah beliau menjadi ikon untuk parti sejak kerjasama politik BN dan rakan koalisi lain dalam kerajaan.

Jangan kita tergopoh-gapah membuat telahan untuk segerakan PRU-15 kerana takut nanti menang sorak, undi tergadai.

AKAR UMBI, Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya