fbpx

Jauhi gerai, restoran kotor elak kolera

ORANG ramai diminta lebih cerewet dalam pemilihan lokasi dan kebersihan premis makanan bagi mengelak jangkitan kolera. -GAMBAR HIASAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KOLERA atau taun adalah salah satu penyakit wabak tertua yang dicatatkan dalam sejarah. Ia merupakan penyakit akibat jangkitan kuman yang menyebabkan cirit-birit teruk dan akhirnya kematian akibat kehilangan air dalam badan.

Penyakit ini berpunca daripada bakteria vibrio cholerae yang merebak melalui pengambilan makanan atau air tercemar dengan najis atau muntah orang dijangkiti. Lebih membimbangkan, penyakit ini mudah merebak di kawasan yang tidak mempunyai bekalan air bersih, sistem sanitasi tidak teratur serta tidak mempunyai kemudahan tandas sempurna.

Lazimnya, di penempatan berkepadatan tinggi, penularan lebih mudah berlaku. Di kawasan bandar pula, kebersihan premis makanan terutama yang tidak berlesen serta tidak mempunyai sumber air bersih boleh menjadi punca penularan wabak. 

Kolera dikategorikan sebagai endemik di Malaysia. Statistik menunjukkan  jumlah kes kolera dari 2006 hingga 2015 ialah sebanyak 244 kes, kebanyakannya di Sabah. Pada 2020, wabak kolera dilaporkan di beberapa tempat di  Sabah.  

Bagaimanapun, bagi pesakit yang bergejala, mereka akan mengalami cirit birit, sakit perut dan muntah. Najis pesakit adalah sangat berair dan keadaan ini disamakan dengan air basuhan beras. Bagi sesetengah pesakit, pembuangan air yang sangat banyak semasa cirit birit boleh menyebabkan kekeringan air dalam badan yang serius dan kematian sekiranya tidak dirawat. 

Dengan rawatan segera, pesakit boleh diselamatkan dengan memberi air yang banyak termasuk rawatan larutan air garam (ORS) bagi menggantikan air serta garam dalam badan. Jangkitan yang teruk pula memerlukan rawatan air melalui salur darah dan antibiotik.

Pada masa ini terdapat beberapa jenis vaksin, namun biasanya diberikan kepada mereka yang ingin melakukan perjalanan ke luar negara yang mempunyai kes kolera tinggi serta diberikan kepada golongan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan teruk.

Kesimpulannya, penyakit ini boleh dicegah dengan mengamalkan kebersihan dari sudut penyediaan makanan serta minuman, amalan mencuci tangan sebelum makan dan sebelum menyediakan makanan.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memilih premis makanan yang bersih dan hanya makan makanan yang dimasak dengan sempurna serta minum air dimasak atau dirawat. 

Dapatkan rawatan awal bagi mencegah komplikasi serius termasuk kematian.

 PROF. MADYA DR. NURUL AZMAWATI MOHAMED & PROF. MADYA DR. MOHD DZULKHAIRI MOHD RANI, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN