SAUDARA PENGARANG,
SEJAK kebelakangan ini, kes-kes Covid-19 yang direkodkan agak melegakan. Tafsiran melegakan bermaksud apabila ia tidak melebihi 10,000 kes sehari.
Ini jauh berkurangan berbanding dengan keadaan suatu ketika dahulu kes-kes yang dicatatkan mencecah belasan ribu, malah pernah melebihi 20,000 kes sehari.
Namun, keadaan yang lebih baik sekarang, bukan bermakna kita boleh terus leka. Kita harus sedar, pengurangan kes bukan bermakna wabak berkenaan sudah berakhir.
Kita perlu memahami bahawa Covid-19 adalah sejenis penyakit berjangkit. Ia boleh merebak dan berjangkit pada bila-bila masa kepada manusia, jika kita lalai mengawal penyebarannya.
Oleh itu, setiap rakyat harus sentiasa berwaspada. Kelonggaran merentas negeri yang diberi oleh kerajaan sejak beberapa minggu lalu, bukan bermakna rakyat bebas berbuat apa sahaja.
Mereka boleh berkunjung dan makan di restoran, membeli-belah di pasar raya malah tidak dilarang untuk beriadah di kawasan rekreasi. Bagaimanapun, mereka mesti sentiasa beringat untuk memakai pelitup muka dan tidak mengabaikan penjarakan fizikal.
Jumlah kenderaan yang begitu banyak di atas lebuh raya baru-baru ini dan kesibukan yang dapat dilihat di hentian rehat dan rawat (R&R) membuktikan ramai yang mengambil kesempatan untuk merentas negeri.
Oleh itu, setiap pengguna jalan raya perlu lebih berhati-hati semasa memandu. Elakkan diri dan keluarga masing-masing terlibat dalam kemalangan di jalan raya.
Untuk mengelak berlaku kesesakan di R&R, lebih wajar mereka yang hendak merentas negeri membawa bekalan makanan sendiri dari rumah.
Dengan keadaan demikian, mereka boleh singgah di mana-mana tempat yang tidak ramai orang untuk makan dan minum.
Pastikan kemudahan yang diberi kerajaan untuk merentas negeri digunakan tanpa membawa kemudaratan.
Jangan pula bila berlaku sesuatu yang tidak diingini, semuanya hendak salahkan kerajaan. Jadilah insan dalam komuniti Keluarga Malaysia yang penuh bertanggungjawab, tanpa menyusahkan sesiapa.
RAMLI ISMAIL, Kangar, Perlis