PORT DICKSON: Penubuhan Pusat Pendidikan dan Latihan Perubatan (CMET) Hospital UCSI di sini adalah bertujuan menyediakan platform latihan berstruktur kepada doktor dan jururawat selaras perkembangan semasa bidang perubatan.
Pengerusi Kumpulan Kesihatan UCSI, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pusat pendidikan dan perubatan itu merupakan langkah penting bagi memastikan pembelajaran berterusan dapat dilaksanakan bukan sahaja di hospital kerajaan malah turut diperkukuhkan di sektor swasta.
Katanya, ia juga berfungsi sebagai platform melatih doktor dan jururawat mengikut perkembangan terkini ilmu perubatan.
“Ia menerusi pengamjuran kursus bersasar melibatkan pelbagai disiplin termasuk pembedahan, perubatan dalaman serta kepakaran khusus.
“Perkembangan bidang perubatan kini sangat pesat dengan kemunculan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), kesihatan digital, robotik dan bioteknologi. Jadi ilmu perubatan sentiasa berubah dan inilah platform yang kita adakan agar doktor dan jururawat kita mengikut perkembangan ilmu yang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Perasmian CMET di Hospital UCSI, Port Dickson semalam.
Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud telah berkenan menyempurnakan perasmian tersebut
Tambah Noor Hisham, CMET turut menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi tempatan dan antarabangsa bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan termasuk dengan universiti tempatan seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). – UTUSAN










