fbpx

Hayat PN akan terus panjang

BERSATU mendapat untung paling besar pada PRN Melaka apabila berjaya menggandakan undi berbanding PRU14.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEHARI selepas Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sudah ada saranan daripada beberapa pemimpin UMNO supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menimbang menyegerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Namun, jika diteliti lebih mendalam keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 dan PRN Melaka, BN masih bukan pilihan majoriti rakyat negeri bersejarah itu pada 20 November lalu.

Ini kerana undi popular diperolehnya hanya meningkat sedikit tetapi bernasib baik dengan perpecahan undi antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Sebanyak 65.85 peratus daripada keseluruhan 495,195 pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka pada PRN lalu, jumlah keluar mengundi paling rendah dalam sejarah pilihan raya di Melaka.

PH yang mencipta tsunami politik apabila berjaya menumpaskan BN pada PRU14, hanya menang lima kerusi, masing-masing empat oleh DAP hasil sumbangan kerusi di kawasan pengundi bukan majoriti Melayu dan Parti Amanah Negara (Amanah) melalui bekas Ketua Menteri, Adly Zahari.

Analisisnya, pecahan undi kepada PH susut sebanyak 15.31 peratus, kebanyakannya disebabkan pengundi luar bandar yang tidak menyokong BN beralih kepada PN, khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding banyak kerusi di kawasan terbabit.

PN yang mempertaruhkan calon daripada Bersatu, Pas serta Gerakan dan buat julung kali bertanding pilihan raya, juga memberi impak apabila menang dua kerusi.

Pas yang kalah semua lapan kerusi dan Gerakan di semua lima kerusi turut menunjukkan prestasi lebih baik berbanding PRU14, malah tiada calon Pas hilang deposit pada PRN ini berbanding 10 daripada 24 calonnya pada 2018.

Undi kepada Pas juga bertambah di beberapa kerusi, khususnya di Serkam dengan peningkatan 18 peratus sokongan berbanding PRU14 dan di Duyong sebanyak lima peratus.

Di Gadek dan Bemban, PN berjaya memainkan peranan dengan berkesan dalam menarik sokongan pengundi Melayu serta memecahkan undi bukan Melayu dan keseluruhannya, berjaya meraih kira-kira 17 peratus undi popular daripada pemilih Melayu terutama pengundi muda.

Jika dilihat dua kerusi dimenangi Bersatu, iaitu Bemban dan Sungai Udang, masing-masing dengan majoriti 328 dan 530 undi. Ini menunjukkan undi awal membabitkan tentera, polis dan keluarga mereka memberi kelebihan pada parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Bersatu mendapat untung paling besar pada PRN Melaka apabila berjaya menggandakan undinya berbanding PRU14 melalui 15 calon yang dipertaruhkan berbanding hanya enam calon pada PRU14.

Kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan DUN Bemban menyaksikan Bersatu berjaya mengekalkan prestasinya sama seperti PRU14 dan parti berkenaan menerimanya sebagai isyarat positif mempunyai potensi untuk terus meraih sokongan rakyat pada PRU15 nanti.

BN dan UMNO perlu melihat perkembangan itu dari perspektif Bersatu. Usah terlalu selesa dan membuat kesimpulan kemenangan dengan majoriti dua pertiga diperoleh mereka di Melaka sebagai kayu pengukur nasib PN dalam politik negara.

BN dan UMNO perlu berwaspada kerana gabungan parti baharu atau ‘setahun jagung’ itu mempunyai daya saing dan turut menjadi pilihan pengundi yang berharap memperoleh kerajaan lebih baik dan dapat menjaga kepentingan mereka.

SHAMSUL ABU BAKAR, Ayer Keroh, Melaka.

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN