Guna strategi catur nak menang PRU15 - Utusan Malaysia

Guna strategi catur nak menang PRU15

SIRI televisyen The Queen’s Gambit mula ditayangkan pada 2020.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHNIAH diucapkan kepada Barisan Nasional (BN) kerana berjaya memenangi 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seterusnya membentuk kerajaan negeri.

Dalam pada itu, siri televisyen The Queen’s Gambit telah menarik minat ramai orang di seluruh dunia terutama wanita untuk bermain catur.

Dalam permainan itu, terdapat 16 buah catur terdiri daripada lapan bidak, dua benteng, dua kuda, dua gajah, satu menteri dan satu raja pada seorang pemain.

Selain raja, setiap buah catur mempunyai nilai kekuatannya tersendiri. Bidak bernilai satu mata, kuda bernilai tiga mata, gajah bernilai tiga mata, benteng bernilai lima mata dan menteri bernilai sembilan mata.

Menurut peraturan, jika kita dapat menawan raja pihak lawan atau disebut sebagai checkmate, kita diisytihar sebagai pemenang.

Untuk mudah mencapai kemenangan, biasanya kita akan menawan buah-buah catur sebanyak mungkin untuk melemahkan pihak lawan dan menambah kekuatan kita.

Malaysia terdiri daripada 13 negeri dan tiga wilayah Persekutuan yang jumlahnya adalah 16, yakni sama bilangan dengan buah catur. Setiap negeri mempunyai kekuatan tersendiri.

Sebagai analogi kepada nilai buah catur, Selangor dianggap sebagai menteri, Kuala Lumpur dan Johor (benteng), Sarawak dan Pulau Pinang dianggap sebagai kuda serta Sabah dan Perak dianggap sebagai gajah.

Negeri-negeri lain dianggap sebagai bidak, manakala Putrajaya dianggap sebagai raja yang perlu ditawan dalam permainan catur.

Terdapat tiga kemungkinan kenapa kita boleh menawan buah catur pihak lawan. Pertama, kerana kebijaksanaan kita mengatur strategi permainan.

Kedua, kerana kelalaian pihak lawan. Ketiga, kerana ia adalah helah pihak lawan dengan melakukan pengorbanan untuk memerangkap kita.

Sekiranya berjaya menawan buah catur pihak lawan kerana strategi yang hebat, maka kita boleh teruskan menyerang untuk menawan buah catur lain dan seterusnya menawan raja pula.

Pada PRN Melaka baru-baru ini, adakah kemenangan BN kerana strategi yang hebat atau kerana kelalaian oleh pihak lawan atau pihak lawan sengaja melakukan pengorbanan untuk perancangan lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti?

Adakah kekalahan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) di PRN Melaka merupakan umpan kepada BN?

Bagi seorang pemain yang telah berjaya menawan satu bidak, dia berasa sangat gembira kerana telah memberi kelebihan kekuatan kepadanya dan melemahkan pihak lawan.

Namun bagi pihak lawan, kehilangan satu bidak tidak menjejaskan kekuatan dan perancangan mereka.

Sebaliknya, mereka akan mengatur strategi baharu untuk menawan buah catur yang lebih bernilai daripada bidak, misalnya kuda, gajah dan benteng daripada pemain yang sedang dilamun mimpi kemenangan.

Sekarang PH masih menawan menteri iaitu Selangor, benteng (Kuala Lumpur) dan kuda (Pulau Pinang).

Walaupun tidak lagi menawan raja (Putrajaya), PH masih menawan buah-buah catur bernilai tinggi yang mempunyai kedudukan kewangan kukuh.

Ini membolehkan mereka menggunakan kenderaan lebih mahal daripada Toyota Vellfire sebagai kereta rasmi dan buat kenduri ikan siakap setiap minggu jika mereka mahu.

Jika benar kemenangan BN ketika PRN Melaka kerana strateginya yang hebat, mungkin BN atau rakan akrabnya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) boleh mencuba kekuatan di PRN Sarawak pada 18 Disember ini untuk menawan kuda pula.

N. NASIR, Bangi, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.