Susun semula cukai pendapatan - Utusan Malaysia

Susun semula cukai pendapatan

HASIL kutipan cukai dapat dimanfaatkan untuk pembangunan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEMPENA pembentangan Belanjawan 2022 di Parlimen pada 29 Oktober ini, saya berpendapat sudah tiba masanya kerajaan mengambil langkah drastik dengan menyusun semula sistem cukai pendapatan untuk merancakkan ekonomi negara.

Di Malaysia, cukai pendapatan menyumbang lebih 50 peratus kepada bajet Persekutuan yang dibentangkan di Parlimen setiap tahun, manakala cukai tidak langsung pula menyumbang sekitar 25 hingga 30 peratus.

Menurut Akta Cukai Pendapatan 1967, cukai pendapatan hanya dibayar dan dikenakan kepada mereka yang layak dan ia akta utama yang menggariskan peruntukan dan panduan pengurusan cukai pendapatan.

Bagi cukai pendapatan individu, mulai 2015, seseorang yang mempunyai pendapatan tahunan melebihi RM34,000 (selepas potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) perlu mendaftar fail cukai pendapatan.

Bagi cukai pendapatan syarikat modal berbayar tidak melebihi RM2.5 juta pula, sebanyak 17 peratus dikenakan untuk pendapatan RM600,000 yang pertama dan 24 peratus dikenakan bagi pendapatan seterusnya.

Sejak kerajaan memperkenalkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) mengikut penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan, banyak sektor perniagaan dibuka dan memberi impak positif kepada pemulihan ekonomi.

Kerajaan perlu mengambil peluang ini dengan menggalakkan rakyat berbelanja secara berhemah dengan menyusun semula sistem cukai pendapatan terutama bagi golongan berpendapatan sederhana (M40).

Jika dilihat dari segi perbelanjaan harian, golongan M40 merupakan penyumbang kepada kegiatan ekonomi yang aktif dengan kecenderungan berbelanja.

Sebagai permulaan, bagi tahun taksiran 2021, kerajaan boleh menaikkan sedikit pendapatan tahunan yang dikenakan cukai daripada RM34,000 kepada RM60,000.

Ia akan dapat memberikan lebihan tunai kepada golongan yang berpendapatan sederhana tadi untuk terus merancakkan ekonomi negara seperti berbelanja atau melancong dalam negara.

Selain itu, bagi syarikat modal berbayar tidak melebihi RM2.5 juta, kerajaan boleh menetapkan untuk mengenakan cukai sebanyak 14 peratus bagi pendapatan RM600,000 yang pertama dan 20 peratus bagi pendapatan seterusnya.

Secara khusus lagi, kerajaan boleh memfokuskan memberi pengurangan cukai ini kepada syarikat yang betul-betul terjejas akibat Covid 19 seperti perniagaan melibatkan pelancongan dan perkhidmatan.

Ini dapat menstabilkan kembali tahap kewangan syarikat yang terjejas serta membantu mereka membuat perancangan teliti dengan lebihan tunai diperoleh hasil daripada pengurangan cukai ini.

Hasil pendapatan negara tidak akan terjejas kerana kerajaan masih mempunyai pendapatan daripada cukai tidak langsung yang dikutip oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pendapatan kerajaan negeri melalui cukai taksiran dan tanah yang dikutip oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

DR. MOHD. HAFIZ BAKAR, Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi & Kewangan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya